Sumbangan Bakul Rezeki BAKES – Pusat Islam UTM

Oleh: Mohd Nasir Masroom

JOHOR BAHRU, 8 Nov. — Dalam usaha untuk meringankan beban yang ditanggung oleh golongan B40 dalam kalangan staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Badan Kebajikan Staf (BAKES) dan Pusat Islam UTM (PIUTM) telah mengambil inisiatif mengadakan program Bakul Rezeki BAKES-PIUTM.

Program ini adalah kali kedua dijalankan sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Bakul Rezeki adalah sumbangan berupa barangan dapur iaitu beras, minyak masak, tepung, gula, teh, mihun, sos dan kicap.

Seramai 188 orang telah menerima sumbangan kali ini yang terdiri daripada 113 orang staf kampus Johor Bahru, 72 orang staf kampus Kuala Lumpur dan 3 orang staf kampus Pagoh.

Dari jumlah tersebut, PIUTM telah memberi sumbangan kepada 50 orang staf kampus Johor Bahru, manakala selebihnya adalah sumbangan daripada BAKES.

Sumbangan kali ini telah diserahkan di Kedai Halal Mart MSI yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Prof. Madya Dr Aminuddin Ruskam, Pengarah PIUTM dan En Roslan bin Abd Ghani, Setiausaha BAKES dan beberapa orang AJK BAKES.

Kedua-dua pihak penganjur berharap agar sedikit sumbangan ini dapat membantu meringankan beban para penerima dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sumbangan ikhlas dalam menjayakan program ini.