April 26, 2024

Search
Close this search box.

Advokasi Integriti Sektor Awam Anjuran SHARPS Semai Budaya Integriti

Disediakan oleh: Noraini Rusbadrol dan Siti Aisyah Panatik

Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS FSSH) telah menganjurkan program Advokasi Integriti Sektor Awam dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka.

Program ini telah dijalankan pada 8 Oktober 2020 bertempat di Hotel Ames, Ayer Keroh Melaka. Seramai 20 orang kakitangan awam di Melaka yang terlibat dengan e-perolehan terpilih menjadi perintis sulung kepada modul ini dan diharapkan menjadi duta integriti di jabatan masing-masing untuk melakukan perubahan.

 

Program ini melibatkan pembangunan modul yang bercorak intervensi tingkah laku bertujuan memberikan kesedaran kepada penjawat awam untuk mengamalkan integriti dalam menjalankan perkhidmatan.

Penjawat awam merupakan tunjang utama kepada pembangunan negara. Namun, isu-isu yang berkaitan dengan risiko rasuah dan salah guna kuasa masih berlaku dalam kalangan penjawat awam sehingga ke hari ini.

Sehubungan itu, penyelidik dari SHARPS yang diketuai oleh Prof Madya Dr Siti Aisyah binti Panatik telah membangunkan modul intervensi tingkah laku sebagai salah satu usaha ke arah pemantapan amalan integriti dalam kalangan penjawat awam di Malaysia.

 

Penyampaian Modul ini menggunakan pendekatan Modifikasi Tingkah Laku dan Psikologi bagi memberikan sentuhan jiwa kepada para peserta.

Pembangunan modul ini berperanan sebagai salah satu langkah menyokong Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019 – 2023 yang baru diperkenalkan ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti.

Penganjur mengharapkan agar lebih banyak agensi dan badan kerajaan yang bersedia untuk bekerjasama demi bersama-sama memerangi rasuah di negara ini.

Explore More