Dalam menyedari hakikat dan menyahut saranan berterusan pihak pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengenai keperluan staf untuk memiliki dan mengamalkan Nilai Teras UTM, program High Performance Delivery – Integrity, Synergy, Excellence, Sustainabilty dan Sprituality (HPD-ISESS) anjuran Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) telah dilaksanakan secara strategik bagi menyemarakkan empat (4) Nilai Teras UTM yang utama selain tambahan satu (1) nilai teras khusus bagi FSSH. Program ini telah dilaksanakan secara berterusan setiap minggu mulai Mac 2020.

Program yang didukung oleh pihak pengurusan fakulti ini telah dirancang dengan teliti bagi memberikan sebuah program ilmu yang berimpak dengan pendekatan ceramah santai kepada staf FSSH mengenai kelima-lima nilai teras yang seharusnya menjadi amalan dan DNA yang sebati di dalam jiwa semua staf FSSH secara khususnya dan UTM secara amnya.

Bagi memastikan input dan ilmu yang disampaikan dapat memenuhi matlamat dan hasrat fakulti tersebut, para penceramah yang telah dipilih untuk dijemput memberikan ceramah semasa sesi program ini adalah dari kalangan pentadbir kanan universiti sendiri selain pakar bidang yang berkaitan.

Ini termasuk Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Pro Naib Canselor UTM dan tiga (3) Pegawai Kanan UTM – Pendaftar, Bendahari dan Ketua Pustakawan. Manakala pakar bidang yang dijemput sama dalam menjayakan program ini ialah Pegawai Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Johor dan Pakar Motivasi dan Penceramah Bebas. Senarai penuh para penceramah Program HPD-ISESS FSSH 2020 adalah seperti berikut:

Setakat ini, sesi program HPD-ISESI ini telah berjaya dilaksanakan sepenuhnya sebanyak sepuluh (10) siri di mana siri untuk setiap kelima-lima Nilai Teras UTM tersebut akan diadakan dua (2) kali dan pengisiannya akan diberikan oleh dua (2) penceramah dari pakar bidang yang berbeza bagi mendapatkan pelbagai sudut perspektif untuk kefahaman yang lebih mendalam dikalangan peserta.

Berdasarkan maklum balas yang diterima melalui soal selidik yang dijalankan, pendekatan pelaksanaan program HPD-ISESS ini telah dapat diterima baik oleh ramai pihak iaitu bukan sahaja staf FSSH tetapi juga staf dari Pusat Tanggungjawab Jabatan (PTJ) lain yang sama-sama mengikutinya melalui Webinar atau siaran langsung Facebook yang telah disediakan oleh penganjur. Setiap maklum balas khususnya untuk penambahbaikan kepada program ini akan diteliti dan ditambah baik pada siri-siri yang akan datang.

Ternyata perancangan dan pelaksanaan Program HPD-ISESS yang telah diatur dengan teliti ini berjaya membantu untuk menyemarakkan pengetahuan dan kefahaman staf FSSH serta staf PTJ yang lain mengenai pengertian sebenar Nilai Teras UTM yang seharusnya menjadi amalan dan DNA mereka dalam melaksanakan tugasan harian sebagai warga UTM Sanjungan Bangsa. Semoga semua staf FSSH dapat bersama-sama menghayati dan mengamalkan kelima-lima Nilai Teras UTM- Integrity, Synergy, Excellence, Sustainabilty dan Sprituality sepanjang masa.

Artikel oleh :
Khairull Azmi bin Ishak
Timbalan Pendaftar
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH)
8hb Ogos 2020