April 19, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 24 Ogos – Pejabat UTM International telah merangkul Anugerah Inovasi Naib Canselor pada Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Penghargaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) atau Majlis Citra Karisma UTM 2020 yang diadakan di Dewan Sultan Iskandar (DSI), di sini, hari ini.

Anugerah tersebut diberikan atas sumbangan yang memberangsangkan dalam peningkatan kesohoran global dan penjenamaan UTM di peringkat antarabangsa melalui penganjuran Asia-Pacific Association for International Education Conference & Exhibition 2019 (APAIE) dan mendapat hadiah berupa wang tunai berjumlah RM10,000, sijil, trofi dan piala pusingan.

Majlis Citra Karisma UTM 2020 merupakan acara tahunan yang diadakan bertujuan untuk memberi penghargaan kepada staf UTM yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang perkhidmatan bagi tahun 2019.

Ia juga diadakan bagi menghargai individu atau kumpulan staf yang telah berjaya membawa nama universiti ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa menerusi sumbangan penyelidikan, perundingan, pengajaran dan pembelajaran serta lain-lain bidang bagi tahun 2019.

Majlis anjuran Jabatan Pendaftar melalui Bahagian Pengurusan Organisasi dengan kerjasama pelbagai unit ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar.

“Majlis Citra Karisma yang diadakan setiap tahun ini menjadi pemangkin untuk mewujudkan persaingan yang sihat di kalangan staf agar sentiasa memperbaiki prestasi kerja, menjadi lebih kreatif dan inovatif dan menghasilkan output yang lebih cemerlang secara konsisten,” ujar Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid  semasa ucapan beliau di majlis tersebut.

Beliau juga berkata bahawa penghargaan dan pengiktirafan yang diberikan semasa majlis ini adalah kepada staf yang telah berjaya mencapai prestasi paling cemerlang dalam perkhidmatan iaitu mereka yang tergolong dalam top 5% dari keseluruhan staf yang berkhidmat di UTM.

Pada majlis kali ini, 16 anugerah telah dipertandingkan dan seramai 508 staf telah diraikan iaitu 396 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan 112 orang penerima anugerah lain-lain.

Menariknya lagi penganjuran majlis berskala besar oleh UTM ini dilaksanakan mengikut norma baharu dengan mematuhi tatacara operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kaedah penganjuran ini telah mendapat maklum balas yang positif dari semua pihak.

Hadiah penghargaan bagi anugerah ini diberikan kepada UTM Endowmen di tempat kedua atas usaha cemerlang dalam Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan (UTMeBid), manakala Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) di tempat ketiga melalui Influential Leaders Collaborative Innovation (ILCI) dalam Pengukuhan Kualiti Pendidikan Perniagaan.

Antara anugerah yang berimpak tinggi lain ialah Anugerah Kualiti Perkhidmatan, Anugerah Kualiti Akademik dan Anugerah Inovasi Perkhidmatan selain daripada anugerah-anugerah lain dalam pelbagai bidang yang menyokong jaminan kualiti kepada sistem penyampaian perkhidmatan yang berprestasi tinggi.

Anugerah Kelestarian telah dipertandingkan buat pertama kalinya pada tahun ini bagi mengangkat usaha, inisiatif dan program pelestarian yang dilaksanakan oleh Pusat Tanggungjawab (PTJ) dalam menyokong agenda pelestarian kampus universiti.

Pemenang sulung anugerah tersebut ialah Sekolah Komputeran bagi Kategori Fakulti dan Sekolah, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) bagi Kategori Pejabat dan Kolej Rahman Putra bagi Kategori Kolej Kediaman.

 

Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar (empat dari kiri) menyerahkan piala pusingan kepada pihak pemenang Anugerah Inovasi Naib Canselor, UTM International

 

Para pemenang dan penerima hadiah penghargaan Anugerah Naib Canselor UTM bergambar bersama Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid

 

Antara 396 staf yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC)

 

Antara 396 staf yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC)

 

Pemenang Anugerah Kualiti Perkhidmatan, Jabatan Bendahari

 

Staf yang hadir di Majlis Citra Karisma 2020

 

Sesi pendaftaran staf yang dikendali oleh urusetia majlis

 

Penyampaian sajak oleh Mohd Amin bin Derani dari Fakulti Sains

 

Persembahan nyanyian oleh Encik Ardiyanto dari Jabatan Timbalan Naib Canselor (Akademik Dan Antarabangsa)

 

Unit Kebudayaan UTM yang bertugas semasa majlis

 

Explore More