April 16, 2024

Search
Close this search box.

Diskaun Sehingga 50 Peratus Pembelian Nombor Pendaftaran Khas UTM Sempena Bulan Kemerdekaan Negara ke-63

JOHOR BAHRU, 5 Ogos – Unit Endowmen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menawarkan diskaun setinggi 50 peratus bagi pembelian nombor pendaftaran khas universiti ini sempena bulan kemerdekaan negara yang ke-63.

Di bawah program Promosi Merdeka ini, pembeli berpeluang untuk menikmati kadar diskaun yang ditawarkan dari serendah 25 hingga 50 peratus bermula 1 Ogos hingga 16 September 2020.

Pengarah Unit Endowmen UTM, Prof. Madya Dr. Yusof Boon berkata diskaun sebanyak 25 peratus diberikan kepada orang awam manakala 35 peratus pula diberikan kepada mahasiswa, bekas penuntut (Alumni) serta staf dan pesara UTM yang berkhidmat kurang dari 20 tahun.

“Bagi staf dan pesara UTM yang berkhidmat lebih dari 20 tahun, diskaun sebanyak 40 peratus diberikan kepada mereka manakala pembeli nombor Bernilai Utama (nombor satu digit) akan menikmati diskaun sebanyak 50 peratus.”

Dr. Yusof berkata demikian ketika diwawancara oleh Pejabat Hal Ehwal Korporat (HEK) di pejabatnya di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru.

Harga asal (harga rizab) bagi nombor-nombor pendaftaran khas UTM adalah RM200,000.00 (Bernilai Utama), RM15,000.00 (Menarik Dua Digit), RM10,000.00 (Menarik Tiga Digit), RM7,000.00 (Menarik Empat Digit), RM 3,000.00 (Popular Dua Digit), RM 2,500.00 (Popular Tiga Digit), RM2,000.00 (Popular Empat Digit), RM1,500.00 (Semasa Tiga Digit) dan juga RM1,000.00 (Semasa Empat Digit).

“Penjualan nombor Pendaftaran Khas UTM dalam Promosi Merdeka ini adalah secara ‘walk-in’ dan pembelian boleh dibuat dengan menghubungi Unit Endowmen UTM. Pembeli juga boleh menyemak di bida.utm.my bagi mendapatkan maklumat tentang nombor yang masih belum dijual berserta kadar harga dan diskaun yang ditawarkan.

Sempena Promosi Merdeka ini juga pihak kami menawarkan hadiah yang menarik kepada 63 orang pembeli pertama iaitu sebuah model kapal terbang A320 UTM-Air Asia. Untuk makluman, angka 63 ini diambil bersempena dengan 63 tahun negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 2020 ini,” katanya lagi.

Penjualan nombor pendaftaran khas kenderaan UTM ini adalah salah satu dari usaha Unit Endowmen UTM untuk menjana dana dan mengisi Tabung Endowmen yang ditubuhkan untuk membantu mahasiswa dari keluarga kurang berkemampuan.

 

Program Promosi Merdeka menawarkan diskaun hebat kepada para pembeli nombor pendaftaran khas kenderaan UTM bermula 1 Ogos hingga 16 September 2020.

Explore More