April 19, 2024

Search
Close this search box.

Taman Teknologi Universiti Teknologi Malaysia atau ‘UTM Technovation Park’ dengan keluasan mencecah 100.3 ekar yang kini terletak di Skudai, Johor Bahru, telah menempatkan lebih daripada 41 syarikat teknologi.

Dikelolakan oleh Pusat Inovasi & Komersialisasi (ICC) UTM, Technovation Park menawarkan persekitaran yang kondusif untuk menggalakkan aktiviti pengkomersilan hasil penyelidikan dan kepakaran UTM.

Pengarah ICC UTM, Prof Madya Ts. Dr Noor Azurati Ahmad@Salleh berkata Technovation Park itu menyediakan ruang inkubator yang secukupnya untuk mendorong pengkomersialan budaya penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta mempercepatkan proses kemajuan perniagaan baru.

Kewujudan Technovation Park ini adalah untuk memanfaatkan teknologi dan hasil penyelidikan universiti kepada masyarakat. Justeru itu, penyertaan komuniti UTM dan sekitarnya adalah digalakkan untuk merangsang aktiviti pengkomersilan.

Sebarang kerjasama yang bermanfaat serta berpotensi untuk meningkatkan kemajuan perniagaan dan aktiviti penjanaan pendapatan Technovation Park adalah sangat digalakkan oleh ICC UTM.

Ruang-ruang pejabat dan makmal yang disediakan telah disewakan kepada pemilik syarikat hiliran (spin-off company) agar para penyelidik dapat bertapak dan menceburkan diri dalam dunia perniagaan sehingga mereka mampu kekal berdaya saing dalam landskap ekonomi yang wujud ketika ini.

Setakat ini, terdapat 80% syarikat berasaskan teknologi termasuk enam syarikat hiliran UTM sedang aktif menjalankan operasi perniagaan dan penyelidikan mereka di situ.

Selain dari bangunan utama, kawasan Technovation Park juga menempatkan dua kompleks pembangunan usahawan yang dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Galakan usahawan dalam bidang teknologi (technopreneurship) di Techovation Park juga telah berjaya mewujudkan ekosistem yang dapat menjana pendapatan dan membantu kemajuan sosial dalam kalangan komuniti universiti dan tempatan iaitu termasuk pelajar dan graduan universiti.

Selain itu, kewujudan Technovation Park telah memberi faedah kepada lebih dari 100 pelajar untuk menjalani latihan industri setiap tahun dan 173 graduan UTM dalam menyediakan peluang pekerjaan di syarikat sekitar kawasan tersebut.

Di dalam usaha untuk menjadi pemangkin utama dalam menghasilkan usahawan teknologi yang berjaya,  Technovation Park menyediakan Skim Penggalakkan Keusahawanan yang memberi peluang kepada para penyelidik untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan antaranya seperti kursus  keusahawanan dan pinjaman pre-komersialisasi.

Antara syarikat hiliran terkemuka UTM yang beroperasi di Technovation Park ialah Biopro Cosmeceutical Sdn Bhd. Di samping menyumbangkan geran penyelidikan untuk kajian akademik kepada penyelidik UTM, syarikat ini berjaya menghasilkan produk kosmetik penjagaan kulit berkualiti tinggi iaitu DERMAGS sehingga mempunyai seramai 4,000 pengedar dan stokis di seluruh Malaysia dan negara-negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Brunei.

Syarikat perkhidmatan teknologi maklumat seperti Gates IT Solution Sdn Bhd juga merupakan syarikat hiliran UTM yang memulakan perniagaannya di Technovation Park dan kini telah berkembang dengan baik dengan mempunyai lebih dari 60 orang pekerja.

Prestasi perniagaan syarikat ini sangat membanggakan dengan penglibatan mereka dalam pembangunan perisian dan portal MalaysiaBiz yang digunakan oleh beberapa institusi dan agensi kerajaan. Gates IT juga telah menyumbang royalti kepada UTM sebanyak RM730, 000.00 dalam bentuk geran kontrak penyelidikan serta sumbangan kepada Tabung Endowmen UTM.

Pembangunan Technovation Park dirancang selari dengan ekosistem perniagaan berasaskan teknologi Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dari UTM dengan dana-dana prototaip teknovasi UTM seperti Prototype Research Grant Scheme (PRGS-ICC) dan Technovation Implementation Fund (TIF) yang berjumlah hampir RM800, 000.00 diperuntukan kepada para penyelidik pada tahun ini dengan matlamat menjadi pemangkin dalam merealisasikan pembangunan inovasi usahawan-penyelidik ini.

Di samping itu, pembangunan projek Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) dari pihak Teraju yang bernilai hampir RM1.99 juta bertajuk Penternak Pintar Udang Kara Air Tawar (Cherax quandricarinatus) di Johor dan Perak turut akan dibangunkan dan dilaksanakan di kawasan ini bermula dari tahun 2020 sehingga 2024.

Technovation Park akan terus menjadi sebuah pusat perniagaan hasil teknologi penyelidikan UTM yang terkemuka di negeri Johor dan seterusnya menghasilkan lebih ramai usahawan-teknologi yang berdaya saing demi memacu pembangunan teknologi ke arah pembangunan ekonomi yang pesat dan mampan.

Lokasi UTM Technovation Park menerusi imej satelit
Technovation Park diletakkan di bawah kendalian ICC UTM
Lawatan pihak pengurusan tertinggi UTM ke Technovation Park

Pihak pengurusan tertinggi melawat Biopro Cosmeceutical di Technovation Park

Explore More