April 20, 2024

Search
Close this search box.

Ditubuhkan pada tahun 2009 sebagai syarikat hiliran Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Gates IT Solutions Sdn Bhd gigih meneroka pelbagai peluang perniagaan bagi menyokong dasar keusahawanan universiti yang diperkenalkan pada tahun 2015.
Berfungsi sebagai syarikat hiliran universiti itu, ianya diterajui oleh dua orang ahli akademik dari Sekolah Sains Komputeran iaitu Dr. Muhamad Razib Othman (Ketua Pegawai Operasi) dan Dr. Hisammuddin Asmuni@Hasmuni (Ketua Pegawai Produksi) serta dua Alumni UTM yang juga graduan Ijazah Sarjana Sains (Keusahawanan Teknologi Maklumat) iaitu Husni Ruslai (Ketua Pegawai Eksekutif) dan Harun Yaacob ( Ketua Pegawai Teknikal).

Bercakap mengenai latar belakang dan perkembangan syarikatnya kepada wartawan Pejabat Hal Ehwal Korporat, Dr Muhamad Razib berkata syarikatnya itu kini berjaya mendapatkan status Multimedia Super Corridor (MSC) dan juga anugerah TERAS (syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi).
Status MSC ini diiktiraf oleh Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC) yang sebelumnya dikenali sebagai Multimedia Development Corporation yang merupakan institusi milik kerajaan yang bertanggungjawab untuk pengurusan Koridor Raya Multimedia (MSC Malaysia) di Malaysia sebagai zon industri teknologi dan perdagangan.

Anugerah TERAS pula diiktiraf oleh TERAJU, sebuah unit strategik di bawah Jabatan Perdana Menteri Malaysia (JPM) yang ditubuhkan pada 8 Februari 2011 untuk menerajui penyertaan ekonomi Bumiputera negara ini.

Sebagai sebuah syarikat yang ditubuhkan dengan mengkomersilkan bidang teknologi maklumat dan sains komputer sebagai perniagaan terasnya, Gates IT Solution telah pun membangunkan tiga produk iaitu perisian pembangunan perniagaan ‘Enterprise Resource Planning’ (ERP), Aplikasi pembaharuan dan pemantauan lesen perniagaan, MyPatil dan juga aplikasi pendaftaran perniagaan bersepadu, MalaysiaBiz.

Mengulas lanjut mengenai ERP, Dr Muhamad Razib berkata ERP ini dibangunkan bagi membantu sesebuah organisasi khasnya yang berteraskan perniagaan dan keuntungan dalam mengurus sumber manusia dan juga kewangannya.
Perisian ini sesuai untuk digunakan di pelbagai sektor iaitu pendidikan, perladangan dan juga Pihak Berkuasa Tempatan dari segenap pelusuk tanah air. Perisian ERP ini bernilai diantara RM230,000.00 hingga RM30 juta seunit bergantung kepada tahap penggunaan sesebuah organisasi itu.
Antara pelanggan yang menggunakan perisian ERB ini adalah Universiti Islam Malaysia, Cyberjaya, The Malaysian Insurance Institute, Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah, Pahang, Pusat Pembangunan Tenaga Industri, Johor dan juga Institut Teknologi Aeroangkasa

Gates IT juga telah membangunkan portal pendaftaran dan perlesenan perniagaan setempat atau MalaysiaBiz. Melalui portal ini, urusan mendaftar perniagaan dan memohon lesen akan menjadi lebih cepat dan mudah kerana kedua-dua urusan ini boleh dilakukan di satu gerbang perkhidmatan sahaja.
Portal ini dibangunkan melalui kerjasama strategik bersama Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku peneraju pemodenan sistem penyampaian dalam perkhidmatan awam Malaysia dan juga SME Corp. Malaysia, agensi di bawah naungan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDEC).

Portal MalaysiaBiz diintegrasikan dengan sistem dalam talian di 17 agensi antaranya Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDEC), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan beberapa lagi badan pendaftar perniagaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sementara itu aplikasi terbaru yang dibangunkan Gates IT adalah MyPatil iaitu aplikasi yang membolehkan peniaga memperbahrui lesen perniagaan secara atas talian. Aplikasi ini juga memudahkan pemantauan oleh PBT terhadap premis-premis perniagaan di bawah kawasan pentadbiran mereka.

Semenjak dari penubuhannya, Gates IT telah menjana pendapatan kasar sebanyak RM10 juta dengan pendapatan bersih sebanyak RM1.5 juta setahun. Dengan kapasiti tenaga kerja seramai 60 orang, syarikat itu kini beroperasi di dua cawangan iaitu Blok Keusahawanan KUT-Majlis Amanah Rakyat (MARA) di UTM Technovation Park, Johor Bahru dan juga di bangunan MTDC, Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Selangor.

Ruang pejabat Gates IT Solution Sdn Bhd di Bangunan Keusahawanan MARA, UTM Technovation Park, Johor Bahru.
Dr. Muhamad Razib Othman (baju Melayu Hijau) menyerahkan sumbangan kepada Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar sejumlah sumbangan RM 1.5 juta bagi tujuan sumbangan Endowmen UTM pada tahun 2018.

Explore More