Disediakan oleh: Dr. Mohamed Ayyub bin Hassan, Dr. Noraini binti Rusbadrol, dan Masturah binti Mohd Azhar

Seramai 202 orang pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperoleh ilmu persediaan menghadapi alam pekerjaan apabila menyertai program Alumni Talk Series: Prepare for Your Future Career, anjuran Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS), Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan (FSSH), UTM.

Program ini telah berjaya dianjurkan secara dalam talian pada 17 Mei 2020 yang lalu bermula jam 12 tengahari sehingga 2 petang.

Antara objektif utama bagi program Alumni Talk Series: Prepare for Your Future Career ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar SHARPS tentang persediaan menghadapi permulaan kerjaya setelah menamatkan pengajian di UTM.

Di samping itu, pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat dan kemahiran seperti cara penyediaan resume, CV dan surat pengiring (cover letter) berdasarkan keperluan industri.

Melalui program ini juga, para pelajar didedahkan mengenai langkah-langkah dan intervensi yang digunakan oleh pihak industri dalam proses membuat saringan (pengambilan pekerja) terhadap permohonan jawatan kosong oleh calon yang berpotensi.

Pelajar yang menyertai program ini secara talian di Webex

Program ini telah menjemput penceramah dari Flextronics Technology (Penang) Sdn. Bhd. iaitu Cik Sri Dhurgah Devi Venu Goball yang menyandang jawatan HR Generalist dan Recruiter.

Di samping itu, Cik Sri Dhurgah Devi Venu Goball ini juga merupakan alumni Universiti Teknologi Malaysia.

Penghargaan diberikan kepada Dr. Noraini binti Rusbadrol kerana menjadi moderator untuk program secara dalam talian ini.

Penceramah sedang menerangkan mengenai penyediaan CV, Resume dan Cover Letter

Tuntasnya, usaha pihak Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), UTM dalam mejayakan program seperti ini diharapkan dapat menbantu para pelajar untuk mendalami ilmu bagi mempersiapkan diri untuk menongkah ke alam pekerjaan pasca pandemik Covid-19.

Sepanjang program ini dijalankan, pelbagai nasihat dan pengalaman yang berharga telah dikongsikan oleh Cik Dhurgah kepada peserta program ini agar sentiasa bersedia menghadapi perubahan dalam pasaran kerja di Malaysia secara khususnya.

Pelajar juga memberikan maklum balas yang positif terhadap penganjuran program ini.