April 20, 2024

Search
Close this search box.

Kepelbagaian khasiat Buah Tunjuk Langit (BTL) yang mampu merawat pelbagai penyakit berbahaya antaranya kencing manis, gout, sakit sendi, darah tinggi dan pelbagai penyakit lain telah menarik minat para pengkaji untuk melakukan penyelidikan yang lebih mendalam terhadap khasiatnya.

Selain dapat menurunkan kadar gula dalam darah, buah yang mempunyai 1,001 khasiat ini juga mampu membantu individu yang mempunyai masalah lebihan berat badan selain menjadi penawar penyakit migrain.

Menerusi kandungan pelbagai jenis khasiatnya antaranya vitamin A, B6 dan B selain protein, kalsium dan magnesium, buah ini juga membantu menangani masalah gout, sakit sendi, darah tinggi, melancarkan perjalanan darah selain meningkatkan kecergasan badan.

Selain buahnya ada juga pendapat profesional dari pakar saintis bioteknologi yang mengatakan biji buah ini mengandungi banyak khasiat semula jadi yang boleh dijadikan penawar bagi membantu dan meningkatkan sistem peredaran darah dalam tubuh manusia.

Ditemui tumbuh dengan liar di kawasan hutan hujan tropika bersuhu kering dan lembab pokok buah tunjuk langit ini boleh ditemui di Amerika Selatan, Barat India, Kepulauan Indonesia, Fiji, Honduras, Kepulauan Solomon dan juga Malaysia.

Dalam kajian-kajian saintifik telah membuktikan bahawa terdapat kandungan flavonoid dan saponin yang tinggi didalam buah tunjuk langit yang memberikan kesan antioksida yang tinggi kepada buah tunjuk langit.

Menyedari bahawa buah tunjuk langit yang mempunyai kepelbagaian kebaikan dan khasiat, seorang penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Liza Md Salleh telah menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan minyak biji tunjuk langit yang berkualiti tinggi melalui teknologi tinggi tanpa menggunakan sebarang bahan kimia yang merbahaya.

Hasil analisa makmal beliau membuktikan minyak tunjuk langit yang terhasil mempunyai kandungan lemak tepu yang sangat rendah berbanding minyak-minyak kekacang yang lain seperti badam, biji chia dan lain-lain.

Pensyarah dan penyelidik dari universiti tempatan ini telah membuktikan pemprosesan pengekstrakan serta formulasi dikaji beliau adalah selamat bagi memastikan khasiat biji tunjuk langit ini dapat digunakan oleh orang ramai sebagai amalan makanan sihat.

Hasil kajian yang diperolehi setelah berhempas pulas selama tujuh tahun bermula 2013 untuk tempoh tujuh tahun telah berjaya menghasilkan sebanyak 10 jurnal berindeks yang telah diterbitkan dan teknologi pengekstrakan biji tunjuk langit yang diformulasikannya telah pun dipatenkan sebagai harta intelek oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Selain berjaya mendapatkan paten bagi ciptaan formulasi ini, satu produk prototaip dalam bentuk gel lembut bagi minyak tunjuk langit dengan tujuan memudahkan penyimpanan dan menghilangkan rasa pahit semulajadi ketika minyak itu dimakan.

Prototaip ini telah berjaya memperolehi pengiktirafan sebagai produk inovasi terbaik sekaligus mendapat pingat emas pada pertandingan inovasi di peringkat antarbangsa seperti Pecipta’19 dan Seoul International Invention Fair (SIFF) 2019.

Walaupun telah berjaya mendapat pengiktirafan antarabangsa dan juga nasional, Dr Liza tidak tergesa-gesa untuk mengkomersilkan produk berasaskan buah tunjuk langit yang telah didaftarkan dibawah brand Go Swiet ke pasaran kerana ingin memastikan hasil penyelidikan yang konsistan dan tepat.

Dalam kajian antidiabetik yang dilakukan, ekstrak minyak tunjuk langit ini mampu merendahkan paras glukos melalui tindakan enzim dan beberapa testimoni pengguna awal terhadap produk prototaip ini menunjukan ia mampu mengawal paras glukos dalam darah.

Dr Liza berkata penyelidikan yang dijalankannya juga mendapati minyak ini mengandungi kandungan Omega 6 yang tinggi selain Omega 9 dan juga Beta Sitosterol yang baik untuk tenaga dan masalah penyakit prostat bagi kaum lelaki.

Produk yang dibangunkan beliau kini masih berada dalam fasa ujian dan akan berada dalam pasaran tidak lama lagi selepas memperolehi kelulusan pendaftaran dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Prof-Madya-Dr-Liza-bersama-produk-berasaskan-biji-buah-tunjuk-langit-yang-dibangunkannya.
Dr-Liza-Md-Salleh-bersama-produk-ciptaannya
Gambar gel makanan yang dihasilkan dari biji buah tunjuk langit

Explore More