April 25, 2024

Search
Close this search box.

KPT Puji Inisiatif UTM menangani COVID-19

KUALA LUMPUR, 7 Apr. –Menteri Pengajian Tinggi Yang Berhormat Dato’ Dr. Noraini Ahmad telah sudi meluangkan masa hadir ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Kuala Lumpur bagi mempengerusikan sesi ramah mesra bersama Naib Canselor / Rektor Universiti Awam (UA) secara dalam talian.

Yang Berhormat Dato’ Noraini mempengerusikan mesyuarat secara dalam talian

Perbincangan yang berlangsung hampir dua jam itu adalah bagi membincangkan isu pelajar yang berada di kampus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan inisiatif yang diambil oleh setiap UA bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan setiap pelajar adalah sentiasa terjaga.

Menteri, Dato’ Dr Noraini Ahmad, seterusnya bergerak ke Kolej Siswa Jaya (KSJ) yang menempatkan 281 orang pelajar bagi meninjau agihan bekalan bantuan makanan untuk makan malam.

Prof. Madya Dr. Aminuddin memberikan taklimat kepada Yang Berhomat Dato’ Noraini

Pengetua Kolej, Prof Madya Dr. Aminuddin Abu telah memberikan penerangan ringkas kepada Yang Berhormat Menteri tentang edaran bantuan makanan yang dibuat kepada 450 orang pelajar yang tinggal di dalam dan di luar kampus UTM Kuala Lumpur.

Yang Berhormat Menteri juga telah dimaklumkan bahawa penyediaan makan malam bagi pelajar di UTM Kuala Lumpur adalah ditaja oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor yang juga merupakan Canselor UTM.

Dato’ Dr. Noraini berkata kaedah pengurusan pelajar yang dilaksanakan UTM ketika PKP ini sangat teratur dan UTM telah mengambil langkah proaktif dalam menguruskan kebajikan pelajarnya yang berada di kampus sepanjang PKP dikuatkuasakan.

“Saya melihat agihan makan ini dibuat dengan sangat teratur dengan mengambil kira aspek kebersihan; memakai face mask dan sarung tangan serta menjaga jarak sosial yang ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan di sini, selepas membuat edaran makanan kepada pelajar di KSJ.

Dato’ Noraini bersama Datuk Wahid, Naib Canselor mengagihkan makanan kepada pelajar yang tinggal di kampus ketika PKP.

Yang Berhormat Menteri turut menyampaikan sumbangan daripada Education Malaysia Global Services (EMGS) sebanyak RM3000 kepada Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid bin Omar.

Turut hadir ialah Pro-Naib Canselor (UTM Kuala Lumpur) Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin, Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Ir. Dr. Pauziah Mohamad, Pegawai Perubatan UTM Kuala Lumpur, Dr. Izzat Hazmir Ismaal, pengurusan kanan universiti serta pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan atas kesudian Yang Berhormat Menteri melawat UTM.

Explore More