April 24, 2024

Search
Close this search box.

Keterujaan Kepimpinan Dato’ Seri Dr. Zulkifli Al-Bakri

Oleh: Prof. Madya Dr. Kassim Thukiman

Pelantikan YB Dato’ Seri Dr. Zulkifli Al-Bakri dalam kabinet Malaysia menarik perhatian ramai. Buat pertama kali dalam sejarah Malaysia moden, seorang mufti dilantik sebagai menteri. Tulisan ini bukan untuk berpolemik tentang isu politik, tetapi ingin menjelaskan peranan yang lebih besar dalam pembentukan dasar-dasar kerajaan.

Pada tahun 2016 dan 2017, Kerajaan Malaysia menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), telah melantik sekumpulan perunding dari beberapa buah universiti awam untuk menjalankan kajian tentang dasar-dasar kerajaan. Tujuan utama kajian ini ialah untuk mengenal pasti sejauhmana dasar-dasar kerajaan mematuhi syariat Islam. Indikator yang digunapakai ialah lima dimensi maqasid syariah.

Terdapat lapan dasar utama yang dikaji iaitu pendidikan, undang-undang, kesihatan, ekonomi, prasarana, sosial, budaya, dan politik. Dapatan kajian menunjukkan majoriti responden mengakui bahawa dasar-dasar kerajaan mematuhi apa yang terkandung dalam maqasid syariah. Namun begitu, keputusan kajian tidaklah begitu membanggakan, sekadar 70 peratus pencapaiannya.

Dalam konteks inilah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mempunyai peranan dan tanggungjawab besar bagi memastikan dasar-dasar kerajaan bersifat inklusif dan bersepadu. Dalam konteks masa kini misalnya, bidang kesihatan merupakan suatu dasar utama bagi mensejahterakan kehidupan rakyat. Kita lihat betapa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadi pusat rujukan utama negara bagi memerihalkan penularan wabak Covid-19. Kita juga boleh lihat bagaimana pasukan KKM dari semua peringkat tanpa pengecualian, terlibat dalam menggerakkan kepakaran dan perkhidmatan bagi memastikan dan mengekalkan kesejahteraan hidup rakyat.

Suatu yang menarik, kepakaran dan keilmuan Dato’ Seri Dr. Zulkifli Al-Bakri digunakan untuk menjelaskan kepada rakyat supaya tetap berpegang teguh dengan ajaran agama Islam. Rakyat diminta mematuhi segala peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 17 Jun 2020. Malah atas dasar mengatasi mudarat yang lebih besar, Dr. Zulkifli dengan perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, mengumumkan penutupan sementara institusi masjid, surau, dan musolla. Alhamdulillah, dengan penjelasan menteri yang berkaitan hukum-hakam, rakyat menerimanya dengan baik. Di sinilah hebatnya seorang pemimpin yang berilmu, berwibawa dan berintegriti.

Suatu hakikat yang paling nyata, pelaksanaan PKP akan menyebabkan ekonomi negara dan ekonomi rakyat akan merudum. Dalam konteks ini pula, kita perhatikan kebijaksanaan YAB Perdana Menteri mengumumkan pelbagai insiatif di bawah dasar ekonomi bagi meneruskan kelangsungan hidup rakyat. Dalam keadaan pertumbuhan ekonomi negara yang kurang memberangsangkan, YAB Perdana Menteri mengumumkan peruntukan di bawah program rangsangan ekonomi berjumlah RM250 billion bagi mengutamakan kepentingan rakyat dalam mengharungi cabaran kehidupan masa kini. Sekali lagi kita lihat bagaimana dasar ekonomi juga mempunyai pertalian yang cukup erat dengan dimensi maqasid syariah.

Dato’ Seri Dr. Zulkifli Al-Bakri

Dalam pada itu, Dr. Zulkifli Al-Bakri memberi saranan kepada kesemua agensi dan pusat zakat negeri-negeri agar dapat memainkan peranan untuk membantu mengurangkan masalah yang dihadapi oleh rakyat, khususnya yang beragama Islam. Sekali lagi terserlah elemen maqasid syariah yang menjelaskan peranan dan tanggungjawab pusat-pusat zakat bagi membantu umat Islam. Kalau sebelum ini, pengagihan zakat hanya untuk golongan asnaf, tetapi dalam tempoh PKP ini, ramai orang yang memerlukan bantuan saraan hidup, terutama mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Suatu yang menarik, bagaimana aura kepimpinan Dr. Zulkifli yang lingkungan kuasanya hanya meliputi Wilayah Persekutuan, tetapi idea dan pemikirannya diterima dan dilaksanakan di seluruh negara.

Sebenarnya isu kesihatan yang dihadapi di dalam negara dan di peringkat global mempunyai hubungan rapat dengan bidang pendidikan. Ini disebabkan tahap pendidikan yang diterima oleh rakyat akan mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku. Dalam suasana negara menghadapi cabaran penularan wabak virus Covid-19, sewajarnyalah rakyat mengambil bahagian dan peranan untuk mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan. Bagi pihak Majlis Keselamatan Negara, mereka menguatkuasakan undang-undang ini bukan untuk menyusahkan kehidupan rakyat. Sebaliknya kerajaan berusaha memastikan rakyat dapat meneruskan kehidupan dalam keadaan aman, bahagia, sejahtera dan makmur. Sehubungan dengan itu, rakyat yang berilmu pengetahuan mampu membantu negara untuk mempercepatkan proses menyahkan virus Covid-19.

Namun begitu, berdasarkan laporan pasukan PDRM dan ATM, masih ramai kalangan rakyat yang tidak mengendahkan larangan PKP tersebut. Masih ada dalam kalangan rakyat yang masih berjalan di sana sini, membeli belah, riadah di kawasan pantai dan sebagainya. Rakyat perlu sedar betapa pasukan KKM dan pasukan keselamatan sanggup berkorban demi negara. Malah mereka sanggup berkorban jiwa dan raga. Rakyat juga perlu memahami realiti, berapa banyak perbendaharaan negara digunakan untuk mengatasi wabak ini. Di sinilah setiap rakyat perlu memainkan peranan dan amanah sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab. Rakyat perlu merealisasikan gagasan “Muafakat itu Berkat”. Oleh yang demikian, maqasid syariah bukan sekadar meletakkan tanggungjawab kepada kerajaan, sebaliknya rakyat yang berilmu mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.

Sebenarnya, isu kesihatan yang muncul mempunyai banyak pengajaran dan hikmah tersendiri. Ini menunjukkan dasar-dasar yang digubal oleh pihak kerajaan perlu memenuhi keperluan maqasid syariah. Ia bukan hanya meliputi aspek kesihatan, tetapi melangkaui dasar-dasar kenegaraan yang lain. Dari perspektif politik misalnya, rukun kenegaraan telah terbentuk sejak merdeka. Rakyat dan pemimpin wajar meneruskan kestabilan politik menerusi pelaksanaan sistem raja berperlembagaan. Di samping itu, kestabilan politik juga perlu dipertahankan menerusi sistem demokrasi. Kombinasi kedua-dua sistem ini sebenarnya telah memartabatkan konsep Daulat Raja dan meraikan Daulat Rakyat. Dengan kestabilan politiklah, Malaysia mampu melangkah ke hadapan untuk menjadi negara maju yang disegani dan dihormati di peringkat global.

Selain daripada itu, maqasid syariah juga boleh dijadikan suatu alat ukuran yang tekal dan mantap bagi memastikan kesemua institusi dan agensi kerajaan melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Dalam perspektif sistem pentadbiran moden, kepimpinan terdahulu telah meletakkan asas yang kukuh dengan pembentukan institusi persekutuan, negeri dan daerah, peranan eksekutif, tanggungjawab pihak legislatif dan ketelusan sistem kehakiman. Justeru itu, para penjawat awam khususnya perlu menghayati dan memahami peranan masing-masing untuk membangunkan sebuah negara yang kini berusia 63 tahun. Kita wajar diperingatkan dengan kata-kata nasihat almarhum Tunku Abdul Rahman, “setelah kita berjaya mencapai kemerdekaan, tanggungjawab kita sekarang ialah mengisi agenda kemerdekaan”.

Sehubungan dengan itu, saya dapati kehadiran Dato’ Seri Dr. Zulkifli Al-Bakri dalam kabinet Malaysia tepat pada masanya. Beliau bukan sahaja boleh memberi nasihat dan pandangan daripada perspektif agama, malah boleh melaksanakan dasar-dasar kerajaan yang inklusif dan bersepadu demi mensejahterakan kehidupan rakyat. Kesepaduan kepimpinan politik mampu memajukan negara dalam pelbagai bidang. Justeru, adalah diharapkan JAKIM dapat memainkan peranan yang lebih besar bagi memacu pembangunan negara yang bertunjangkan kepentingan agama dan kesejahteraan rakyat. Kepada rakyat, marilah kita kukuhkan hubungan dengan Pencipta, “Kepada Allah Berserah” dan memperkasa perpaduan kerana “Muafakat itu Berkat”.

Explore More