April 26, 2024

Search
Close this search box.

Kualiti akademik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi diiktiraf apabila Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UTM baru-baru ini mendapat kepercayaan Institut Pengajian Islam PERGAS Singapura (IPIP) untuk membantu dalam membina dan meningkatkan taraf program Diploma Pengajian Islam yang ditawarkan di institut tersebut.

Melalui kerjasama ini UTM melalui Sekolah Pendidikan akan membantu merekabentuk modul khas bagi memberi bimbingan dan panduan kepada PERGAS dalam membina arah tuju institusi, misi dan visi bagi pembinaan dan penawaran program baru mereka, melakukan pemantauan pembentukan program akademik secara teori dan amali dan perancangan penambahbaikan kualiti kurikulum (bagi tujuan pengauditan).

Sekolah Pendidikan juga akan membantu menasihati dari segi kualiti kurikulum termasuk pelaksanaan kaedah pentaksiran melalui pembangunan rubrik penilaian dan penilaian alternatif

Sehubungan itu sebuah Majlis Penyampaian Dokumen Program Diploma Pengajian Islam bersama Institut Pengajian Islam PERGAS Singapura (IPIP) telah diadakan di Sekolah Pendidikan pada 4 Februari lalu.

Majlis dimulakan dengan kata alu-alan dari Pengerusi Academia Consulting Group atau ACG, Prof Madya Dr Zainuddin bin Abu Bakar.

 “Bukan mudah untuk kita merealisasikan program kerjasama ini.  Perbincangan di antara kedua pihak memakan masa lebih dari tiga tahun” ujar PM Dr Zainuddin Abu Bakar.

Majlis turut diserikan dengan ucapan Pengerusi Sekolah Pendidikan FSSK, Prof Madya Dr Fatin Aliah Phang.

“Kerjasama antara UTM dan organisasi seperti IPIP PERGAS dapat membantu dalam meningkatkan mutu pengajian Islam dalam kalangan tenaga pengajar profesional di Singapura.  Ianya juga selaras dengan misi dan visi UTM dalam konteks memberi khidmat kepada masyarakat” jelas Prof Madya Dr Fatin Aliah Phang.

Majlis ini telah dihadiri oleh lima orang wakil dari Institut Pendidikan Islam PERGAS, yang merupakan institusi berdaftar di bawah naungan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam, Singapura. Maklumat lanjut mengenai PERGAS, boleh layari https://www.pergas.org.sg/]

 Delegasi dari Institut Pengajian Islam PERGAS. Dari kanan: Ustaz Muhd Yusri Yubhi bin Md Yusoff (CEO PERGAS), Ustaz Muhd Hasan bin Masnin (Pemangku Ketua Jabatan Pendidikan PERGAS), Ustazah Nazrana bte Haniff (Pengarah Perkhidmatan & Kemasyarakatan PERGAS), Ustazah Roslina bte Ismail (Pegawai Kanan PERGAS) dan Ustazah Tan Nurul Hafizah bte Abdul Hadi (Pegawai Kanan PERGAS)

Selain daripada delegasi dari Institut Pengajian Islam PERGAS, majlis ini turut dihadiri oleh mantan Dekan Sekolah Pendidikan, Prof Dr Muhammad Sukri bin Saud dan juga para Pengarah Sekolah Pendidikan, Prof Madya Dr Mahani bte Mokhtar (Jabatan Asas Pendidikan), Prof Madya Dr Yusri bin Kamin (Jabatan Pendidikan Teknik dan Kejuruteraan) dan Prof Madya Dr Megat Aman Zahiri Bin Megat Zakaria (Jabatan Pendidikan Sains, Matematik dan Multimedia Kreatif).

Prof Madya Dr Sanitah bte Mohd Yusof sedang memperkenalkan tetamu kepada para Pengarah Sekolah Pendidikan, FSSK.

Kerjasama antara pihak Sekolah Pendidikan dan Institut Pengajian Islam PERGAS telah berjalan lebih dari tiga tahun.  Meskipun perbincangan bagi pelaksanaan program ini memakan masa yang agak lama di antara kedua pihak, program ini mula dilaksanakan secara rasminya pada April 2018.

Pihak Institut Pengajian Islam PERGAS, Singapura telah melantik seramai lima orang staf akademik di Sekolah Pendidikan, UTM bagi membantu mereka membangunkan Program Diploma Pengajian Islam di Institut Pengajian Islam PERGAS, Singapura.  Staf yang terlibat adalah Prof Madya Dr Zainudin bin Abu Bakar, PM Dr Sanitah bte Mohd Yusof, Dr Rohaya bte Talib, Dr Halijah bte Ibrahim dan Dr Noor Azean bte Atan.

Pelaksanaan program ini memakan masa dua tahun mulai 2018-2020.  Program yang bertujuan untuk meningkatkan program akademik ini telah didaftarkan di sebagai satu projek perundingan di UTM Technology and Innovation Management Sdn. Bhd. yang dinamakan sebagai ‘Program Latihan Pembangunan dan Semakan Kurikulum Institut Pengajian Islam Pergas‘.

 “Semakan program yang telah dilaksanakan adalah penting bagi memastikan latihan yang diberikan mencapai objektif program” jelas CEO PERGAS, Ustaz Muhd Yusri Yubhi bin Md Yusoff.

Tenaga pengajar program ini terdiri dari ahli akademik Sekolah Pendidikan di bawah Kumpulan Konsultan Akademik atau lebih dikenali sebagai ACG (Academia Consulting Group). Kumpulan ini telah ditubuhkan pada 2018 dengan beberapa objektif tertentu. Salah satu objektifnya ialah dalam membantu dalam perancangan penyampaian kurikulum berdasarkan pendekatan Pembelajaran Abad ke 21, Pendidikan 4.0 dan Revolusi Industri 4.0.

Sejak penubuhannya, ACG dianggotai oleh lima orang pakar dari Sekolah Pendidikan iaitu Prof Madya Dr Zainudin bin Abu Bakar, Prof Madya Dr Sanitah bte Mohd Yusof, Dr Rohaya bte Talib, Dr Halijah bte Ibrahim dan Dr Noor Azean bte Atan.  Pada tahun 2020, ACG telah menambah seorang lagi ahli iaitu Dr Hadijah bte Jaffri.

Misi ACG adalah menyediakan perkhidmatan beriklim pementoran kepada pemegang taruh dari aspek perekaan bentuk, pembangunan kurikulum dan pematuhan program akademik  dalam melonjak potensi kemanusiaan melalui pengintegrasian domain personal dan profesional.

Visi ACG pula ialah menginsankan pendidik yang bercita-cita tinggi menuju perubahan positif melalui kaedah pementoran bagi mengalakkan pembudayaan praktisioner cemerlang / pakar dalam bidang pendidikan.

Secara amnya, pembentukan kumpulan perundingan ACG ini beriltizam untuk bekerjasama dalam program berkaitan dengan pembangunan kurikulum, penyampaian pengajaran, pentaksiran, pemantauan dan pematuhan program akademik.

 Antara dokumen yang diserahkan kepada delegasi Institut Pengajian Islam PERGAS.
 Sesi bergambar dengan delegasi dari Institut Pengajian Islam PERGAS

Nota: Untuk maklumat lanjut tentang Academia Consulting Group (ACG), boleh hubungi Prof Madya Dr Zainuddin Abu Bakar di pzain@utm.my.

Disediakan oleh: Dr Hadijah Jaffri dan PM Dr Zainuddin Abu Bakar

Explore More