April 24, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 3 Feb. – Seramai 480 orang pegawai kadet Pasukan Latihan Pasukan Simpanan (PALAPES) dari tiga Universiti Awam (UA) telah terlibat dalam Eksesais Leopard Zon Selatan Tahun 2020.

Latihan yang menggabungkan pasukan PALAPES dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) ini telah disempurnakan perasmian penutupnya oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar sebagai Komandan pasukan PALAPES UTM, Kolonel (Kehormat).

Eksesais yang telah berjalan selama dua minggu dari 20 Januari sehingga 3 Februari 2020 ini telah berlangsung di Kampung Ulu Choh dan Ladang Kulai Yong. Turut mengambil bahagian dalam latihan ini ialah 129 orang pegawai dan 77 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Timbalan Komandan PALAPES UTM, Lt Kol Prof. Madya Dr. Mohd Noor Azli Hj Ali Khan berkata latihan sebegini mampu memberikan sedikit sebanyak pengetahuan kepada para mahasiswa tentang ilmu peperangan infantri tentera darat.

“Pengalaman latihan tempur sebegini amat bernilai kepada ahli kadet kerana secara langsung memberi pendedahan tentang keadaan sebenar selain membina semangat dan keberanian diri sekiranya berlaku krisis.

Nilai-nilai ketenteraan yang diperoleh sepanjang latihan seperti disiplin, keberanian, integriti dan kesetiaan boleh digunakan sebaik sahaja tamat pengajian di universiti untuk diamalkan dalam bidang pekerjaan kelak atau dipraktikkan dalam kehidupan seharian,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian penutup program berkenaan yang berlangsung di Empangan Ulu Choh, Johor Bahru semalam.

Menurut Dr. Mohd Noor Azli lagi, selain meluangkan masa untuk bertemu dan menyampaikan pesan kepada kadet-kadet peserta, Naib Canselor UTM juga sempat berjalan kaki sejauh dua kilometer di sekitar tapak latihan bagi meninjau keadaan di situ.

Kadet PALAPES dari tiga Universiti Awam berdiri dalam berisan mendengar amanat dari Komandan PALAPES UTM sebelum memulakan latihan.
Komandan PALAPES UTM meluangkan masa bertemu dengan kadet-kadet PALAPES yang menyertai eksesais LEOPARD 2020 di Empangan Ulu Choh, Kangkar Pulai.

Anggota kadet PALAPES berjalan kaki merentas halangan sebagai sebahagian dari eksesais LEOPARD 2020.
Bergaambar dengan peserta dan jurulatih yang terlibat dalam eksesais LEOPARD 2020.

Explore More