Disediakan oleh: Azra Ayue Abdul Rahman dan Ab Razak Che Hussin

Program seminar sehari, “Mixed Methods Research A to Z” telah berlangsung dengan jayanya bertempat di DoubleTree Hilton, Johor Bahru pada 3 Disember lalu. Program seminar ini menampilkan penceramah jemputan dari Universiti Putra Malaysia iaitu Dr. Othman Talib.

Program seminar sehari ini merupakan antara aktiviti menarik yang berlangsung bersempena dengan 6th International Conference on Research and Innovation in Information Systems (ICRIIS 2019).

Dr. Othman Talib bersama-sama dengan peserta seminar.

ICRIIS 2019 merupakan persidangan dwitahunan yang dianjurkan oleh Information & Service Systems Innovation Research Group (ISSIRG) dari Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) bersama-sama dengan Persatuan Sistem Maklumat Malaysia (MyAIS) dan Information Engineering and Behavioral Informatics (INFOBEE) dari Sekolah Komputeran, Fakulti Kejuruteraan. ICRIIS 2019 ini turut mendapat tajaan dari rakan korporat GTeX Asia Sdn. Bhd.

Seminar sehari ini menghimpunkan peserta dari pelbagai latarbelakang yang berminat untuk mendalami kaedah penyelidikan “Mixed Methods.” Kaedah penyelidikan “Mixed Methods” merupakan antara kaedah penyelidikan yang terpenting dengan kelebihan gabungan di antara kaedah kuantitatif dan kualitatif untuk meneroka isu-isu di dalam penyelidikan.

Dr. Othman Talib menyantuni peserta seminar.

Dr. Othman Talib juga menerangkan dengan panjang lebar berkaitan dengan research gap untuk sesuatu kajian. Pemahaman terhadap konsep triangulasi turut dikupas secara ringkas dalam seminar oleh Professor Dr. Rose Alinda Alias yang merupakan Pengerusi Persatuan Sistem Maklumat Malaysia (MyAIS).

Presiden Persatuan Sistem Maklumat Malaysia (MyAIS), Professor Dr. Rose Alinda Alias turut memberikan kupasan ringkas.

Seminar sehari ini dilihat sebagai suatu wadah menarik yang sarat dengan maklumat berguna untuk menajamkan lagi minda para peserta berkaitan dengan kaedah “Mixed Methods” ini. Syabas semua jawatankuasa yang terlibat di atas penganjuran seminar sehari “Mixed Methods Research A to Z” dan persidangan ICRIIS 2019.

Dr. Othman Talib bersama-sama dengan pensyarah-pensyarah UTM.