April 20, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 19 Nov. —  Sebanyak 43 buah syarikat hiliran milik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah ditubuhkan sejak tahun 2009 dengan sumbangan kewangan dalam bentuk pelesenan teknologi dan royalti sebanyak RM1.27juta. Pada tahun 2019 sahaja bayaran pelesenan teknologi adalah sebanyak RM220,000.00.

Syarikat hiliran atau spin-off merujuk kepada syarikat yang ditubuhkan oleh staf UTM bertujuan mengeksploitasi harta intelek UTM dengan kelulusan universiti.

Pegawai Penyelidik (Pengurusan Pengkomersialan) Pusat Inovasi Komerlisasi (ICC), Mohamad Fitri Khamis berkata penubuhan syarikat hiliran ini dapat memberi peluang kepada staf UTM untuk mengkomersialkan produk atau output yang terhasil daripada projek penyelidikan mereka ke dalam bentuk perniagaan dan sekaligus dapat menjana pendapatan untuk universiti.

“Walaubagaimanapun, semua produk, prototaip dan output penyelidikan berkenaan hendaklah didaftarkan perlindungan harta intelek (intellectual property) atas nama UTM sebelum ianya boleh diteruskan dengan aktiviti pengkomersialan.

“Penubuhan syarikat hiliran ini mestilah juga mematuhi Prosedur Penubuhan dan Pemantauan Syarikat Hiliran UTM. Semua penubuhan syarikat perlu melalui Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) yang bertindak sebagai penguatkuasa bagi pemantauan syarikat-syarikat ini,” katanya.

Menurut Mohamad Fitri lagi, ICC akan menyediakan kertas kerja untuk mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU) bagi penubuhan sesebuah syarikat. Staf yang telah mendapat kelulusan penubuhan syarikat ini akan diumumkan sewaktu majlis perhimpunan Naib Canselor setiap bulan.

“Perjanjian pelesenan antara syarikat dan UTM akan diwujudkan. Ianya sebagai dokumen rasmi yang membenarkan syarikat mengeksploitasi harta intelek universiti dengan bayaran minima RM10,000 setiap tahun.

“ICC akan memberi panduan untuk penyediaan pelan perniagaan sebelum melaksanakan sesebuah perniagaan di samping program mentoring juga diwujudkan di antara syarikat yang baru ditubuhkan dengan syarikat yang berpengalaman bagi membolehkan pengalaman dalam bidang perniagaan yang telah diperolehi dikongsi untuk manfaat bersama,” katanya.

Sebagai contoh syarikat Biopro Cosmeceutical Sdn. Bhd. menjadi mentor untuk dua syarikat baru iaitu AM Zaideen Ventures Sdn. Bhd. dan juga syarikat HA Southern Sdn Bhd melalui perkongsian maklumat dan juga pengalaman yang bermanfaat untuk digunakan oleh kedua-dua syarikat baru ini.

Program Schoolars Go Business juga telah diwujudkan untuk membolehkan syarikat-syarikat yang berjaya berkongsi pengalaman dalam menjalankan syarikat. Pihak ICC juga telah mewujudkan panel-panel syarikat setiausaha dan juga syarikat juruaudit untuk memudahkan penubuhan sesebuah syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat hiliran UTM, Biopro Cosmeceutical Sdn. Bhd, Dr. Mariani Hamid dengan produk syarikat hilirannya Dermags.
Produk kosmetik ‘Halea- Natural Skin Care’ ini telah diproses dan dikeluarkan oleh syarikat A.M. Zaideen Ventures Sdn. Bhd. yang juga merupakan sebuah syarikat hiliran milik UTM.

Explore More