JOHOR BAHRU, 3 Nov. — Dua beradik kembar dari Melaka telah mencipta sejarah manis apabila berjaya mengharungi segala cabaran getir dalam pelajaran dan menamatkan pengajian dengan jayanya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Pasangan kembar seiras, Mohamad Shukri Mohammad Hedzer dan adiknya, Mohammad Khairi Mohammad Hedzer hari ini tersenyum bangga sambil menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Petroleum).
Pasangan kembar yang berasal dari Teluk Mas, Melaka itu sebelum ini menuntut secara separuh masa menerusi Program Separuh Masa yang dianjurkan oleh Sekolah Profesional dan Pendidikan Berterusan Universiti Teknologi Malaysia (UTMSPACE) di kampus Kuala Lumpur.
Bercakap dalam sesi wawancara dengan media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-63 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar di sini pagi tadi, Mohamad Shukri berkata beliau bersyukur kerana sehingga kini tidak perlu berpisah dengan adik kembarnya itu.
“Sebenarnya saya amat bertuah. Ibarat satu dalam seribu peluang yang diberikan kepada kami berdua untuk menyambung pengajian dalam bidang yang sama iaitu kejuruteraan petroleum.
“Terus terang saya katakan yang saya amat bersyukur disebabkan boleh ulang kaji dan belajar bersama adik dalam jurusan yang sama tambahan pula kami punyai bidang yang sama juga sama iaitu dalam bidang kejuruteraan petroleum dan harapan kami untuk memberikan yang terbaik sepanjang pangajian bagi menghargai peluang istimewa yang diberikan kepada kami,” katanya yang ditemani adiknya Mohammad Khairi pada sesi tersebut.
Sementara itu Mohammad Khairi berkata beliau amat berterima kasih kepada UTM kerana menyediakan program pengajian separuh masa menerusi UTMSPACE sekaligus membolehkan dia dan abang kembarnya merealisasikan impian mereka.
“Sebelum ini kami telah ditawarkan kursus yang sama di Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UteM) tetapi secara sepenuh masa kerana tiada program separuh bagi kursus ini masa di institusi itu
“Ini amat menyukarkan memandangkan kami yang telah bekerja ini terpaksa meletakkan jawatan dan mengikuti pengajian secara sepenuh masa dan juga terpaksa dibiayai oleh bapa. Ini sudah tentulah menyukarkan keluarga kami,” katanya lagi.