April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 16 Nov. — Seramai 1500 mahasiswa dari 11 Kolej Kediaman Mahasiswa menyertai temasya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Games 2019 anjuran Pusat Kecemerlangan Sukan yang telah dilancarkan di sini, hari ini.

Temasya tersebut dilancarkan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Mahasiswa), Prof. Dr. Durrishah Idrus di Stadium Azman Hashim, UTM Johor Bahru.

Turut hadir ialah Pendaftar UTM, Abdul Razib Hj. Shahuddin.

Pengarah Program UTM Games 2019, Aidiel Ashraf Abdul Razak berkata program ini disertai oleh pelajar dari 10 kolej kediaman di kampus Johor Bahru dan satu kolej kediaman kampus Kuala Lumpur.

“Bagi acara kali ini kita mempertandingkan sebanyak 11 acara iaitu Futsal, Sepaktakraw, Bola Tampar, Ragbi, Bola Jaring, Catur Berpasukan, Ping Pong, Badminton, Olahraga, Petanque dan Bola Keranjang.

Dari 11 acara yang dipertandingkan ini sebanyak lapan acara dipertandingkan dengan kategori Lelaki dan Wanita manakala tiga acara hanya disediakan untuk satu kategori jantina sahaja iaitu Ragbi dan Sepak Takraw untuk lelaki dan Bola Jaring untuk wanita,” katanya lagi.

Mengungkap mengenai sejarah penganjuran temasya ini, Aidiel Ashraf berkata program ini kali terakhirnya dianjurkan adalah pada tahun 2013 sebelum dijenamakan semula sebagai Sukan Antara Mahasiswa atau SUKAM pada tahun yang berikutnya.

Menurutnya lagi, temasya yang akan berlangsung dari 15 sehingga 22 November ini juga telah dinamakan semula kepada nama asalnya bagi memberikan lebih kemeriahan pada sambutannya.

“Sebelum ini, penganjuran program ini diletakkan di bawah kelolaan kolej kediaman mahasiswa masing-masing dengan setiap kolej kediaman bertukar-tukar menjadi penganjur pada setiap tahun.

Mulai tahun ini, program dianjurkan dan diuruskan sendiri oleh atlet mahasiswa melalui penubuhan Majlis Atlet Sukan Mahasiswa atau ‘Student Athlete Sports Council’ (SASC) dan disokong oleh Pusat Kecemerlangan Sukan UTM,” katanya lagi.

Aidiel berkata matlamat penganjuran UTM Games ini adalah bagi merapatkan hubungan silaturrahim antara mahasiswa yang tinggal di kolej kediaman yang berlainan di samping memupuk gaya hidup sihat di kalangan mahasiswa UTM.

“Kami juga akan menggunakan platform UTM Games ini sebaik mungkin bagi mencari bakat-bakat sukan di kalangan mahasiswa baharu UTM bagi menggantikan atlet-atlet mahasiswa yang telah tamat pengajian dan bergraduat.

Ini amat penting bagi membolehkan UTM sentiasa mempunyai atlet-atlet yang berkebolehan untuk mewakili universiti, negeri serta negara dalam temasya-temasya sukan peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Prof. Durrishah melepaskan belon sebagai ikonik pelancaran UTM Games 2019
Prof. Durrishah menyampaikan anugerah perbarisan kontinjen terbaik UTM Games 2019. Pertandingan telah dimenangi oleh kontinjen Kolej Tun Fatimah (KTF).
Prof. Durrishah bersama dengan kontinjen dari Kolej Tun Dr. Ismail.

Explore More