April 23, 2024

Search
Close this search box.

Beroleh kerjaya yang sesuai dengan kelulusan dalam masa yang singkat untuk mencipta karier dan seterusnya menempa nama yang gemilang bukan sesuatu yang mudah bagi graduan terutamanya dalam era yang mecabar dengan persaingan sengit dari pelbagai graduan lain.

Perkara ini amat dititikberatkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan universiti telah berusaha sebaiknya dalam memastikan graduan yang dilahirkan ‘laku’ di pasaran.

Oleh itu di Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), fakulti telah mengambil pelbagai inisiatif seperti sesi mentoring bersama guru-guru bahasa Jepun yang didatangkan khas oleh Japan International Cooperation Agency (JICA) bagi membantu pelajar untuk meningkatkan kefahaman terhadap budaya dan bahasa Jepun bagi membantu persediaan pelajar sebelum mengikuti latihan industri serta program mobiliti ke negara Jepun.

MJIIT merupakan satu-satunya fakulti di Malaysia yang menawarkan pendidikan kejuruteraan berorientasikan gabungan budaya Timur dan nilai-nilai murni Malaysia dan Jepun,

Antara kaedah lain ialah menganjurkan MJIIT Career Fair yang diadakan selang setahun dan terbaru, 26 buah syarikat dari Jepun telah menyertai program khusus yang diadakan untuk pelajar MJIIT sahaja.

Melalui program ini, pelajar berpeluang menghantar resume dan mengikuti sesi walk-in interview yang diadakan oleh pihak syarikat.

Program ini bukan sahaja memberi peluang mencipta kerjaya di Jepun, malah turut memberi pendedahan dan pengalaman berbeza kepada pelajar yang tidak dapat diperolehi di tempat lain dan ia merupakan satu keistimewaan kepada pelajar MJIIT.

Pada tahun 2018, 23 orang pelajar telah ditawarkan bekerja di Jepun dan 52 orang lagi pelajar ditawarkan bekerja di syarikat Jepun berpangkalan di Malaysia.

Salah seorang graduan MJIIT, Mohd Hilmi bin Zakaria berkata MJIIT menyediakan asas kemahiran kejuruteraan serta pelajaran bahasa Jepun yang membantu beliau dalam ilmu kendiri bukan sahaja untuk tinggal di Jepun malah mencipta karier di sana.

“Saya memang bercita-cita untuk bekerja di Jepun suatu hari nanti dan secara jujurnya, MJIIT adalah pencetus utama saya untuk mengekalkan impian saya dan menjadikan ianya realiti kerana MJIIT dilengkapi dengan teknologi berkaitan jepun dan juga mempunyai kerjasama yang erat dengan industri Jepun.

Ia juga telah meningkatkan keyakinan saya dan membantu saya memperluaskan pemahaman saya mengenai pendidikan Jepun, budaya dan juga teknologi kejuruteraan,” katanya yang kini berkhidmat sebagai Jurutera Perisian di Software Engineer at ZMP Inc., Tokyo.

Seorang lagi graduan cemerlang ialah Abdul Hakim bin Sahidi yang kini telah dilantik menjadi Pengarah Urusan kepada Leave a Nest Malaysia Sdn Bhd.

Beliau yang merupakan graduan bagi Program Kejuruteraan Sistem Elektronik dari MJIIT mempunyai semangat profesional yang tinggi dalam perniagaan dan terlibat dengan perniagaan sedari sesi pengajian beliau di universiti dan amat berterima kasih atas segala pengalaman dan peluang yang diperoleh sepanjang pengajian di MJIIT.

Kejayaan ini membuktikan kebolehpasaran graduan MJIIT yang tinggi hasil gabungan penerapan nilai murni budaya pendidikan di Jepun dan kualiti akademik UTM sendiri dalam melahirkan graduan holistik dan berdaya saing untuk membina kerjaya selepas tamat pengajian.

Abdul Hakim Sahidi (duduk, empat dari kiri) semasa mewakili UTM dalam Kejuaraan RoboCup Japan Open 2016 Aichi di Jepun
MJIIT merupakan sebuah fakulti di Malaysia yang menawarkan pendidikan kejuruteraan berorientasikan gabungan budaya Timur dan nilai-nilai murni Malaysia dan Jepun.
Pelajar-pelajar MJIIT semasa menyertai Program Mobiliti Global di Tsukuba, Jepun untuk memberikan pendedahan kepada pelajar MJIIT dengan lebih luas lagi terhadap budaya masyarakat Jepun

Explore More