Oleh Profesor Ir Dr Zainuddin Abdul Manan dan Profesor Ir Dr Sharifah Rafidah Wan Alwi.

Kami berbangga menjadi sebahagian daripada tiga konsortium universiti-industri (UIC) yang tersohor di dunia dalam kalangan universiti-universiti terkemuka di Eropah. Pengalaman berharga yang kami pelajari dari Pusat Integrasi Proses (CPI) di Universiti Manchester, Pusat Kejuruteraan Sistem Proses (CPSE) di Imperial College, London, dan Pusat Kejuruteraan Proses (CAPEC) di Denmark Technical University telah membantu kami menarik lebih daripada 2000 rakan kolaborasi untuk bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam penyelidikan dan pendidikan. Pencapaian sebegini terhasil dari usaha berterusan universiti menambah nilai dalam kolaborasi dengan industri, kerajaan, komuniti dan universiti-universiti lain; dan dalam meyakinkan rakan kolaborasi tentang 10 manfaat utama yang bakal diraih daripada kerjasama dengan universiti dalam pembangunan bakat, penyelidikan dan inovasi, jaringan global, dan jangkauan masyarakat, seperti berikut:

Bidang 1 – Pembangunan bakat

1) Pulangan pelaburan bakat
Universiti bukan sahaja tempat bagi sektor swasta/awam untuk meninjau dan menarik bakat; ia juga merupakan pasaran yang membolehkan syarikat mempromosi jenama, produk, dan perkhidmatan mereka. Justeru, syarikat multinasional seperti Microsoft, Google, Facebook, Shell, Exxon-Mobil, Mitsubishi dan Petronas memberi sumbangan terkecuali-cukai kepada endowmen universiti, selain menyumbang derma dan menaja kursi profesor. Dengan ini, syarikat-syarikat berupaya meningkatkan keterlihatan produk, perkhidmatan, dan jenama mereka, selain sentiasa menjadi sebutan dalam kalangan warga universiti, jaringan global universiti and tenaga kerja masa depan.

Prof. Ir. Dr. Zainuddin bin Abdul Manan

2) Perkongsian dalam pembangunan sumber manusia
Universiti-universiti bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk membangunkan bakat dan tenaga kerja tersedia masa depan. Universiti melantik, mengiktiraf dan memberi insentif kepada pakar/usahawan individu daripada industri, kerajaan dan NGO sebagai pensyarah/profesor, penasihat, dan pentaksir/penilai. Universiti turut melibatkan kapten industri untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dan untuk pementoran kepimpinan universiti di bawah program CEO@Fakulti anjuran Kementerian Pendidikan. Perkongsian simbiotik ini amat penting untuk membangunkan bakat, pengajar serta kurikulum pembelajaran dan pengajaran tersedia masa depan, pembelajaran sepanjang hayat, anjal serta ekosistem yang bermanfaat kepada masyarakat.

3) Akses kepada pendidikan sepanjang hayat yang fleksibel

Para kolaborator boleh mendapat akses kepada pendidikan berkualiti yang terjamin, sepanjang hayat dan fleksibel yang ditawarkan oleh universiti-universiti. Kebanyakan universiti membeti peluang kepada pekerja-pekerja untuk meneruskan pembelajaran melalui mod fleksibel seperti diploma separuh masa, program eksekutif, program khas dan bermodul, dan sarjana/PhD industri secara residensi dan juga melalui pembelajaran teradun jarak jauh dalam talian serta penyeliaan jarak jauh. Kolaborator mendapat manfaat daripada pelangganan program, penyeliaan fleksibel, pemindahan kredit dan diskaun, yang meningkatkan peluang kejayaan pembelajaran. Pelajar dengan kelayakan yang lebih rendah daripada syarat universiti boleh memohon untuk memasuki program akademik dengan menggunakan kesetaraan pengalaman bekerja melalui pusat APEL (Accreditation of Prior Experiential Learning).

Bidang 2 –Penyelidikan dan Inovasi (P&I)

Dalam Penyelidikan dan Inovasi (P&I), para kolaborator dapat memanfaatkan :

4) Akses kepada bakat P&I dalam kalangan penyelidik, pegawai penyelidik, pelajar pasca siswazah dan pra-siswazah memastikan sumber manusia khusus untuk bekerja dalam projek usaha sama di bawah penyeliaan akademia-industri.

5) Geran untuk penyelidikan dan pembangunan, prototaip, pembangunan bakat, kapasiti dan pendidikan sepanjang hayat disediakan oleh kerajaan, universiti, dan rangkaian institusi swasta dan awam melalui pendanaan sepadan atau pendanaan penuh. Syarikat-syarikat yang melabur dalam usaha sama P&I dengan universiti berpeluang mendapatkan potongan cukai daripada pihak kerajaan.

6) Kemudahan fizikal seperti makmal dan peralatan P&I terkreditasi membolehkan rakan kolaborasi menjalankan eksperimen, pensampelan, analisis, dan pengujian produk. Rakan usaha sama juga berpeluang menggunakan pusat data dan makmal komputer canggih, penyelesaian digital dan perisian, dan mendapat manfaat daripada akses kepada pelbagai fasiliti untuk menganjurkan seminar, bengkel, dan persidangan.

7) Inkubator teknologi yang ditubuhkan sebagai taman sains dan teknologi menyediakan jaring keselamatan untuk perusahaan merentasi ‘lurah maut’ dan mengembangkan perniagaan mereka secara sihat. Di taman-taman sains seperti ini, perusahaan permulaan dapat menikmati akses meluas kepada pementoran dan pembangunan kapasiti, dana pengkomersialan yang berkaitan dengan universiti, sumber P&I, kemudahan, dan jaringan perniagaan.

Bidang 3 – Rangkaian Profesional & Global

8) Peluang bekerjasama dengan profesional dan pakar runding bertauliah
Universiti awam di Malaysia dijangka mencapai 30% pengamal profesional bertauliah dalam kalangan kakitangannya menjelang tahun 2020, sebagai sebahagian daripada syarat kualiti akademik. Pengamal profesional ini merangkumi jurutera profesional, jurutera awam berkanun, ahli teknologi bertauliah, saintis bertauliah, pengurus tenaga bertauliah, pengurus tenaga elektrik berdaftar, penguji perisian bertauliah, dan pegawai keselamatan dan kesihatan bertauliah yang bukan sahaja berpengalaman industri yang luas, malah, lebih penting lagi, mempunyai autoriti sah untuk mengamal, memberi rundingan, dan mengurus projek dalam bidang kepakaran masing-masing. Melalui perkongsian pintar, kolaborator universiti boleh memanfaatkan takungan profesional bertauliah ini untuk menambah nilai perniagaan mereka.

Profesor Ir Dr Sharifah Rafidah Wan Alwi

9) Akses kepada Rangkaian Global

Penubuhan rangkaian global adalah sebahagian daripada teras bisnes universiti iaitu pendidikan dan P&I. Kebanyakan universiti membentuk perkongsian dwihala, berbilang hala, dan berteraskan minat khusus dengan ratusan universiti dan institusi dari serata dunia. Kolaborator boleh mendapat manfaat daripada rangkaian global universiti untuk mengembangkan perniagaan, jualan dan pemasaran produk dan perkhidmatan mereka, serta pembangunan dan perekrutan bakat, usaha sama P&I, malah untuk pengelolaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) (lihat seterusnya).

Bidang 4 – Tanggungjawab Sosial Korporat

10) Program tanggungjawab sosial universiti (USR) yang berimpak tinggi
Syarikat-syarikat menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai bukti komitmen mereka dalam menyumbang kepada masyarakat. Berbeza dengan CSR, USR adalah sebahagian daripada kurikulum akademik dan aktiviti penyelidikan arus perdana universiti. Impak USR kepada komuniti menjadi kayu ukur kecemerlangan akademik dan pencapaian penyelidikan sesebuah universiti. Kebanyakan USR telah direka sebagai program mapan jangka panjang berimpak tinggi, dan bukannya aktiviti bermusim. USR dengan perkongsian pintar seperti Service Learning Malaysia (SULAM) dan penyelidikan berasas komuniti menghasilkan sinergi antara universiti, industri, kerajaan, dan komuniti serta pelbagai manfaat termasuk peningkatan imej korporat, peluasan rangkaian global, dan penjimatan perbelanjaan.

Kesimpulan
Institusi swasta dan awam telah meraih manfaat hasil kerjasama dengan universiti melalui akses kepada ekosistem P&I, jaringan, sumber, teknologi, dan pengetahuan yang membolehkan rakan kolaborasi menambah nilai, meningkatkan kecekapan, daya saing, dan memacu inovasi, yang akhirnya meningkatkan imej, keuntungan, dan kemampanan perniagaan masing-masing.

 

Antara beberapa kerjasama berimpak UTM dengan industri (CCM Duopharma) 

Antara kerjasama berimpak UTM dengan industri (Reveron)

Profesor Ir Dr Zainuddin Abdul Manan merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan Profesor Ir Dr Sharifah Rafidah Wan Alwi merupakan Pengarah, Pusat Kejuruteraan Sistem Proses UTM.