April 19, 2024

Search
Close this search box.

DYAM Tunku Mahkota Johor Berkenan Menyempurnakan Majlis Istiadat Pertauliahan Diraja Pegawai Kadet Palapes UA Ke-38

JOHOR BAHRU, 2 Ogos — Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor berkenan berangkat bercemar duli menyempurnakan Majlis Istiadat Pertauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam (UA) Ke-38 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang bakal berlangsung pada hari Sabtu ini, 3 Ogos 2019.

Baginda menerima Warkah Persilaan untuk mewakili Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang dipersembahkan oleh Komandan PALAPES UTM, Kol (K) Prof Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar dan Pengarah Pengurusan Latihan, Brig. Jen. Datuk Mohd Nizam bin Hj Jaafar.

Turut sembah mengadap Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor ialah Ketua Cawangan Pengurusan Latihan ATM Lt. Kol. Md Hanif bin Maulani serta Timbalan Komandan PALAPES UTM, Lt. Kol. Prof Madya Dr. Nor Azli pada 27 Julai lalu.

Acara tahunan tersebut akan dimulakan dengan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja yang melibatkan seramai 1,560 Pegawai Kadet daripada 19 buah UA di Dataran UTM.

Ia akan diteruskan dengan sesi kedua iaitu Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet PALAPES Darat, Laut dan Udara masing-masing daripada baginda di Dewan Sultan Iskandar, UTM kampus Johor Bahru.

Keberangkatan baginda ke istiadat yang sarat dengan tradisi ketenteraan itu akan disambut oleh Panglima Tentera Udara, Jen. Tan Sri Dato’ Seri Hj Affendi bin Buang dan Prof Datuk Wahid yang juga merupakan Naib Canselor UTM.

Junjung Kasih Tuanku.

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor menerima Warkah Persilaan daripada Kol (K) Prof Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar (dua dari kanan) dan Pengarah Pengurusan Latihan, Brig. Jen. Datuk Mohd Nizam bin Hj Jaafar (dua dari kiri) dan turut diiringi oleh Ketua Cawangan Pengurusan Latihan ATM Lt. Kol. Md Hanif bin Maulani (paling kiri) serta Timbalan Komandan PALAPES UTM, Lt. Kol. Prof Madya Dr. Nor Azli (paling kanan) pada 27 Julai lalu. Gambar Ihsan : Laman Facebook HRH Crown Prince of Johor

Explore More