JOHOR BAHRU, 23 Jul — Seramai 20 pelatih Pusat Perlindungan Baitus Solehah, Taman Pulai Utama telah terlibat dengan jayanya dalam program ‘Community Social Responsibility’ (CSR) anjuran Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 22 Julai 2019 yang lalu.

Program yang diberikan nama CSR Kelas Kek@Masak dengan Iman ini dijalankan dengan konsep tiga dalam satu yang melibatkan pengisian kerohanian secara santai dan perkongsian kemahiran memasak kek.

Timbalan Pengarah (Pentabiran) Pusat Islam UTM merangkap Pengarah Program, Dr. Naemah Hamzah berkata penganjuran program ini bertujuan mencapai misi dan visi Pusat Islam UTM dalam membantu masyarakat sekitar kampus dalam pembangunan modal insan yang cemerlang dan seimbang di dunia dan akhirat.

“Objektif program adalah untuk menyalurkan kepakaran cara membuat kek secara teori dan praktikal sebagai asas persediaan penjanaan ekonomi pelatih dan juga dalam waktu yang sama memberikan pendedahan berkaitan konsep usaha, doa dan tawakal dalam kehidupan.

“Kami juga menganjurkan program ini dengan matlamat menyebarluaskan ukhuwah dan kasih-sayang sesama insan,” katanya.

Menurut Dr. Naemah, pengisian program ini terdiri dari Slot Kerohanian dan Motivasi yang dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Islam UTM, Dr. Mohd. Nasir Masroom manakala slot permainan (games) pula dikendalikan oleh beliau sendiri.

“Dalam slot permainan santai, pelatih diberikan sehelai kertas dan pensil untuk menghasilkan lukisan objek yang memberi ketenangan kepada mereka apabila dilihat.

“Antara objek yang dilukis adalah gambar perkahwinan, tulisan nama Allah, Al-Quran, ombak laut, rumah, jari-jemari, McDonald, pokok bunga dan lain-lain. Pelatih diminta berkongsi kenapa dan mengapa objek berkenaan dipilih oleh mereka sehingga menghasilkan ketenangan apabila memandangnya,” katanya.

Pengisian kedua pula diteruskan dengan kelas menyediakan kek@masak dengan iman yang dikendalikan oleh staf Pusat Islam sendiri iaitu En. Zulkifli Ahmad serta dibantu oleh fasilatator tambahan yang juga terdiri dari kakitangan Pusat Islam dan juga Pesara UTM.

“Jenis kek yang diajar dalam kelas ini ialah kek pisang, marbel, butter dan coklat moist. Bagi menjayakan acara ini, pelatih dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan setiap kumpulan akan menghasilkan sejenis kek.

“Program ini mensasarkan untuk memberikan latihan praktikal tentang menghasilkan kek untuk menjana pendapatan untuk menampung kehidupan selepas menamatkan tempoh latihan di rumah perlindungan ini,” katanya.

Menurut Dr. Naemah lagi, program ini juga dijadikan sebagai medium bagi menyebarkan dakwah, kefahaman berkaitan keindahan Islam, hubungan ukhwah dan kasih-sayang sesama manusia.

Dalam majlis penutup, Pusat Islam UTM juga telah menyerahkan sebanyak RM1,000.00 kepada pusat perlindungan berkenaan bagi kegunaan menjalankan operasi hariannya.
Selain aktiviti ini, Pusat Islam UTM juga merancang untuk mengadakan pelbagai program CSR secara sinergi dengan pelbagai pihak untuk memasyarakatkan universiti.

Dr. Naemah memberikan penerangan kepada pelatih pusat perlindungan Baitus Solehah, Taman Pulai Utama sebelum memulakan program.

Fasilitator bagi kelas bimbingan memasak kek, Zulkifli Ahmad memberikan tunjuk ajar kepada pelatih pusat perlindungan Baitus Solehah

Kakitangan Pusat Islam UTM dan Pesara UTM yang terlibat dengan program CSR Pusat Islam bergambar kenangan selepas program tamat.