April 19, 2024

Search
Close this search box.

1,560 Pegawai Kadet Ditauliah Leftenan Muda dalam Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES UA ke-38

JOHOR BAHRU, 3 Ogos — Seramai 1,560 Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dari 18 universiti awam dan satu universiti swasta dari seluruh Malaysia dikurniakan watikah tauliah yang telah disempurnakan oleh Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dalam sebuah majlis istiadat gilang gemilang bertempat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, hari ini.

Kesemua Pegawai Kadet tersebut adalah melibatkan 16 detasmen dari 18 Universiti Awam dan satu universiti swasta iaitu Akademi Laut Malaysia dan terdiri daripada 881 orang Pegawai Kadet Tentera Darat Malaysia (TDM), 330 orang Pegawai Kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 349 orang Pegawai Kadet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

DYAM Tunku Mahkota Johor telah berkenan berangkat bercemar duli ke Istiadat Perbarisan tersebut dan telah berkenan menerima Tabik Hormat Diraja serta memeriksa perbarisan yang diketuai oleh Pegawai Kadet Terbaik Darat, Pegawai Rendah Muda Kamarul Hafizi bin Kamaruzaman dari PALAPES Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Dataran UTM.

Baginda turut menyempurnakan pengurniaan Anugerah Pegawai Kadet Terbaik kepada 34 Pegawai Kadet Terbaik UA.

DYAM Tunku Mahkota Johor juga turut berkenan mengurniakan watikah tauliah yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar kepada Pegawai-Pegawai Kadet PALAPES Darat, Laut dan Udara disusuli dengan bacaan ikrar Taat Setia Perwira, penyerahan skrol ikrar kepada Baginda dan diakhiri dengan penyampaian Perisai Panglima Tentera Darat bagi mengiktiraf detasmen terbaik perbarisan.

Istiadat Pentauliahan ini adalah manifestasi berterusan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menjayakan hasrat Kerajaan Malaysia bagi memperkasakan Pasukan Simpanan ATM sejajar dengan Konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).

Pegawai kadet yang ditauliahkan berpeluang memanfaatkan kebolehan mereka dengan menyertai Askar Wataniah di salah satu daripada 16 unit Rejimen Siri 500 Askar Wataniah di seluruh Malaysia.

Mereka merupakan sebahagian Pegawai Sukarela yang berpendidikan tinggi, sentiasa memimpin untuk menjadi modal insan agar dapat menjadi contoh kepada anggota askar Wataniah yang lain.

Manakala bagi Pegawai Kadet Laut dan Pegawai Kadet Udara, pegawai boleh melapor ke unit yang berdekatan dengan mereka.

Penganjuran ini adalah merupakan penganjuran kali keempat menyaksikan UTM sebagai tuan rumah sejak penganjuran kali pertamanya pada tahun 1994 dan diikuti dengan tahun 2001, 2009 dan terkini, 2019.

Naib Canselor UTM, Kolonel (Kehormat) Prof. Datuk Ir. Dr Wahid bin Omar,  mengucapkan tahniah dan syabas di atas kejayaan pegawai kadet ini.

“Sesungguhnya kehadiran lebih 1500 pegawai kadet bersama jurulatih dan pegawai yang bersemangat kental, dan kesungguhan yang dipamerkan sepanjang menjalani latihan di UTM ini amat dirasai oleh seluruh warga kampus.

Diharapkan segala latihan yang dilalui dapat membakar semangat untuk terus berbakti dan berkorban demi agama, keluarga, masyarakat dan juga negara,” kata beliau.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Senator Liew Chin Tong, Panglima Tentera Udara, Yang Berbahagia Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang, Timbalan Panglima Tentera Darat, Yang Berbahagia Leftenan Jeneral Dato’ Hasagaya bin Abdullah, Timbalan Panglima Tentera Laut, Yang Berbahagia Laksamana Madya Datuk Khairul Anuar bin Yahya, Pegawai-Pegawai Kanan Angkatan Tentera Malaysia dan Naib-naib Canselor Universiti Awam.

Sejarah awal PALAPES bermula dengan penubuhan Batalion Pertama Infantri Askar Wataniah Cawangan Universiti Malaya pada 3 April 1965.

DYAM Tunku Mahkota Johor Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim berkenan memeriksa perbarisan sambil diiringi oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir Dr Wahid bin Omar (kiri). Gambar Ihsan Royal Press Office
DYAM Tunku Mahkota Johor Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menyempurnakan pengurniaan Anugerah Pegawai Kadet Terbaik kepada 34 Pegawai Kadet Terbaik Universiti Awam. Gambar Ihsan Royal Press Office

Explore More