April 25, 2024

Search
Close this search box.

UTM Perkasa Mahasiswa dalam Pengurusan Universiti Dengan Penyertaan Mesyuarat Senat

UTM Perkasa Mahasiswa dalam Pengurusan Universiti Dengan Penyertaan Mesyuarat Senat

JOHOR BAHRU, 22 Julai Selaras dengan usaha Menteri Pendidikan untuk memperkasa serta menyemarakkan potensi dan memberdayakan mahasiswa, UTM buat pertama kalinya akan melibatkan pelajar secara terus dalam pengurusan universiti dengan melantik wakil pelajar dalam mesyuarat Senat.

Dengan penglibatan mahasiswa ini, universiti berharap agar mereka dapat menyuarakan pandangan secara telus dan dinamik dalam membincangkan perkara berkaitan tiga cabang utama universiti iaitu akademik, penyelidikan dan hal ehwal pelajar. Matlamatnya agar pelajar bersama-sama ahli Senat yang lain dapat berganding bahu mencapai keputusan yang terbaik untuk pembangunan universiti dan kesejahteraan semua ahli komuniti universiti.

Pelantikan mereka untuk menjadi wakil suara mahasiswa universiti dalam proses perbincangan dan penggubalan dasar atau tindakan ini turut menunjukkan komitmen universiti dalam mengamalkan inklusiviti di mana suara pelajar turut dihargai dan diambil kira untuk memastikan objektif Universiti dapat dicapai secara terangkum.

Selain itu, penglibatan dalam Senat ini juga dapat memberikan pendedahan yang lebih mendalam kepada pelajar tentang pengurusan universiti agar mereka dapat merasai pengalaman menghadapi suasana perbincangan dan membuat keputusan. Secara tidak langsung, pelajar dilatih untuk bersikap lebih realistik, berkeyakinan tinggi dan mempunyai kemahiran insaniah. Di samping itu, usaha ini dapat membantu membina generasi pemimpin negara yang lebih berkualiti.

Pemilihan mahasiswa yang terlibat dalam mesyuarat Senat universiti ini mengambil faktor keaktifan mereka dalam pergerakan kepimpinan mahasiswa. Oleh itu, ahli jawatankuasa Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM (MPP), Muhammad Ikhmal Borhan dan Nur Maisarah Tahir telah dipilih mewakili suara mahasiswa UTM dalam mesyuarat Senat.

Pelantikan ini juga menunjukkan UTM terus berusaha memperkasakan pemberdayaan mahasiswa dalam menggarap segala pengalaman pembelajaran dan menjadi sebahagian dari ekosistem universiti yang sentiasa berpegang kepada prinsip ketelusan dan berintegriti.

Explore More