April 20, 2024

Search
Close this search box.

UTM dan MBDA Anjur Program Amal Fesyen Santun Untuk Perkasa Pereka Bumiputera dan Promosikan UTM

Kuala Lumpur, 27 Jun 2019:- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Persatuan Pereka Bumiputra Malaysia (MBDA) telah menganjurkan pertunjukan ‘Fesyen Santun’ dalam usaha untuk mengetengahkan hasil rekaan pereka bumiputera tempatan serta mempromosi UTM sebagai sebuah universiti yang peduli atas keperluan pihak berkepentingan dan masyarakat sekeliling, di sini hari ini.

 

Penganjuran ini adalah susulan pemeteraian perjanjian antara UTM dan MBDA iaitu sebuah pertubuhan yang misi utamanya adalah untuk membangunkan industri fesyen terutamanya yang melibatkan pereka bumiputra. Fokus MBDA bukan hanya kepada pereka fesyen tetapi juga kepada mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam ekosistem industri fesyen negara kita.

 

Pemilihan konsep Fesyen Santun adalah tepat kerana ia merupakan satu trend yang bukan sahaja mendapat tempat dalam kalangan peminat fesyen tempatan bahkan di peringkat antarabangsa. Forbes, sebuah badan media antarabangsa melapurkan perbelanjaan dikalangan muslimah akan meningkat ke USD368 billion pada tahun 2021. Manakala Bloomberg pula menyatakan nilai fesyen santun akan mencapai USD350 billion dalam masa dua tahun.

Datin Seri Norhayati ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Pertukaran MoU antara UTM dengan MBDA dan previu fesyen santun

Kerjasama yang dijalin antara UTM dengan MBDA ialah sebuah langkah positif untuk mempromosi konsep Fesyen Santun di negara ini. Kini seluruh dunia mengorak langkah untuk menganjurkan pertunjukan fesyen bertemakan modest fashion. Ianya bukan hanya berlaku di negara islam tetapi di negara seperti Jepun, Korea, German, Holland, Italy dan United Kingdom.

Penganjuran ini dilihat sebagai sebuah langkah UTM untuk sentiasa tampil ‘segar’ dan berbeza kerana sebagai sebuah universiti berteraskan bidang sains dan teknologi yang sinonim dengan penganjuran program dalam bidang tersebut, hari ini UTM menganjurkan program berbentuk fesyen yang selama ini diterajui oleh universiti/institut pengajian tinggi yang mempunyai program pengajian dalam bidang Reka Bentuk Fesyen atau Seni dan Reka bentuk.

Prof. Dr. Azlan Abd Rahman bertukar dokumen dengan Bon Zainal semasa majlis pertukaran Mou antara UTM dan MBDA sambil disaksikan oleh Datuk Wahid Omar dan Datin Seri Norhayati Musa

Antara objektif Majlis Fesyen Santun ini adalah untuk memperkasa inisiatif penjanaan kewangan UTM bagi membantu pelajar kurang berkemampuan dari kelompok B40 di mana sebahagian dari hasil jualan amal dan lelongan produk jenama pereka yang terlibat akan disumbangkan ke Tabung Endowmen UTM.

Program amal tersebut menampilkan tema ‘Fesyen Santun’, iaitu sebuah terma baharu dalam dunia fesyen yang menonjolkan rekaan fesyen yang sopan dan sesuai digayakan oleh pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengabaikan nilai dan adat ketimuran.

Fesyen Santun bersesuaian dengan konsep praktikal dan mengubah persepsi fesyen sopan dalam konteks yang lebih luas bahawa bukan saja bercirikan santun tetapi universal.

Melihat kepada perkataan “Santun” itu sendiri adalah bersinonim dengan sopan, beradab, halus dan, baik, maka sudah tentulah si pemakainya akan menggayakan fesyen ini dengan personaliti anggun yang sopan.

Jika dahulu fesyen ini agak sukar disesuaikan dengan aktiviti atau majlis tetapi mutakhir ini, ia semakin diminati ramai apatah lagi ia dimodenkan mengikut gaya dan trend terkini.

Dalam majlis yang sama empat orang pereka dari Persatuan Pereka Bumiputra Malaysia iaitu Qamila Amran, Hasfitri Yusof, Pua Borneo, Azhar Zainal dan seorang alumni UTM iaitu Cik Daeng Hamizah binti Abd Aziz, pemilik jenama Dhamizah Bawal Exclusive yang merupakan graduan Diploma Ukur Bahan UTM telah mempamerkan koleksi terkini mereka.

 

Datin Seri Norhayati dan Puan Sri Maznah bergambar kenangan bersama pereka fesyen yang mengambil bahagian
Datin Seri Norhayati meluangkan masa melawat gerai jualan amal

Penganjuran Majlis Previu Fesyen Santun ini diharapkan dapat membuka peluang dan ruang kepada syarikat korporat, komuniti setempat serta warga Malaysia bagi terus menyumbang dengan menaja majlis Fesyen Santun pada masa akan datang serta membeli hasil rekaan mereka menerusi jualan amal.

Usaha ini akan membantu memperkasa kemajuan sektor keusahawanan dan rekaan fesyen sekaligus memacu pembangunan untuk kesejahteraan kita dan generasi yang akan datang.

Penganjuran majlis Fesyen Santun ini juga diharapkan dapat mempromosi Residensi UTMKL sebagai sebuah lokasi tarikan kepada warga bandaraya Kuala Lumpur khususnya dan masyarakat Malaysia amnya.

Di sini bukan sahaja terletaknya Gurney Mall tetapi terdapat dua buah hotel yang beroperasi iaitu Royal Widad Residence @UTMKL dan Regency Scholar’s Hotel.

Lokasi Residensi UTMKL ini sangat sesuai untuk diadakan persidangan, kursus dan bengkel serta majlis-majlis korporat dan keraian.

UTM berharap penjenamaan dan pereka-pereka Fesyen Santun bumiputera ini dapat dikomersialkan bukan sahaja dalam dunia fesyen di Malaysia, malah mereka turut mengambil peluang menyertai pentas fesyen di luar negara.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Datin Seri Norhayati Musa, isteri kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna dan YBhg. Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar, Naib Canselor UTM.

Explore More