April 19, 2024

Search
Close this search box.

‘Survive’ Hanya Dengan Beras dan Tiga Batang Mancis, Pengalaman Latihan di Palapes Bentuk Jati Diri Mahasiswa UTM

Pegawai Rendah Muda Muhamad Hamizan bin Haisa menitip kenangan pahit manis sepanjang perjalanan sebagai pelatih di Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Mahasiswa dari Sekolah Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan tersebut membuktikan status sebagai pelajar langsung tidak memberi kekangan untuk mengejar minat beliau dalam ilmu ketenteraan, malah berbekal teladan bapa beliau yang merupakan bekas tentera, beliau berjaya mengharungi pelbagai cabaran sepanjang tempoh latihan tersebut.

“Ujian yang paling mencabar adalah apabila saya perlu berbekalkan hanya sekilo beras dan 3 batang mancis untuk dua malam, terpaksa bersejuk dalam hujan lebat dan air sungai yang kerap pasang, malah saya juga terpaksa mencari makan sendiri dengan memasang jala yang dikait sendiri dan juga memancing.

Namun cabaran itu lah yang menguatkan mental dan ketahanan diri untuk menjadi bekalan bagi menghadapi dunia pekerjaan yang lebih mencabar,” kata beliau.

Muhamad Hamizan bin Haisa adalah salah seorang daripada 1,560 pegawai kadet dari 19 universiti awam yang bakal ditauliahkan Leftenan Muda dalam Majlis Istiadat DiRaja Pertauliahan Kadet PALAPES Universiti Awam (UA) ke-38 pada 3 Ogos 2019 ini.

Beliau merupakan salah seorang daripada 34 pegawai kadet terbaik bagi sesi tersebut.

Muhamad Hamizan turut menzahirkan perasaan gembira kerana dapat membanggakan kedua ibu bapa serta mendedikasikan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua yang telah mengajar dan membentuk diri beliau terutamanya dari skuad, jurulatih dan pegawai-pegawai.

Muhamad Hamizan bin Haisa

Muhamad Hamizan bin Haisa (kanan) semasa sesi raptai

Explore More