April 19, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 17 Jul — Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) telah mengungguli Majlis Citra Karisma 2019 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) apabila dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama anugerah paling berprestij, Anugerah Inovasi Naib Canselor (AINC).

Berada di tempat kedua adalah Akademi Bahasa dengan ciptaannya ‘MyLine MUET Microsites for Transnational Education’ diikuti dengan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) dengan ciptaannya,Naturel Kiss : Kosmetik Bebas Toksid.

Selain AINC, Citra Karisma 2019 juga turut menyaksikan 17 anugerah diberikan kepada kakitangan yang layak seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Anugerah Sukan, Anugerah Khidmat Masyarakat, Anugerah Keterlibatan Industri, Anugerah Inovasi dan Pengkomersilan Produk, Anugerah Perekacipta, Anugerah Perundingan, Anugerah Pengajaran dan Anugerah Penyelidikan.

Turut juga dipertandingkan ialah Anugerah Penerbitan, Anugerah Persekitaran, Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (OSHE), Anugerah Teknologi Maklumat, Anugerah Penjenamaan, Anugerah Kualiti, Anugerah Pentadbir, Anugerah Tokoh Penyelidik dan Anugerah Inovasi Perkhidmatan.

Sementara itu Pro-Canselor UTM, Tan Sri Dr. Salleh Mohd Nor berkata saiz organisasi dan kakitangan daripada pelbagai skim perkhidmatan yang sedia ada memerlukan satu kerjasama yang utuh bagi membolehkan UTM mencapai misi dan visinya.

“Kita mesti bekerja sebagai satu pasukan bagi membolehkan UTM mencapai misi dan visi penubuhannya.

Saiz organisasi dan juga kepelbagaian warga yang berkhidmat dalamnya juga adalah gambaran satu kekuatan yang perlu kita gunakan dalam mencapai sesuatu yang diharapkan,’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan pembukaan Majlis Citra Karisma 2019 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru pagi tadi.

Turut hadir ialah Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Prof. Dr. Zainuddin Abd. Manan, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman dan juga Pendaftar UTM, Abdul Razib Hj. Shahuddin.

Menurut Pro-Canselor lagi, Indeks Petunjuk Prestasi atau ‘Key Performance Index’ (KPI) adalah hanya sekadar garis panduan dalam melaksanakan tugasan harian tetapi rasa ikhlas untuk bekerja  adalah yang terpenting.

“Di samping rasa ikhlas untuk menyumbang kepada organisasi di mana tempat kita mencari rezeki, kita juga seharusnya tidak lupa untuk menjaga kesihatan diri masing-masing kerana kesihatan itu adalah kekayaan yang sebenarnya.

“Jika kita tidak sihat bagaimana kita hendak menyumbang kepada organisasi kita di samping kualiti hidup kita di samping keluarga yang tersayang juga akan terjejas,” katanya.

Dalam majlis tersebut, seramai 402 orang staf telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di samping 21 anugerah lain pada majlis ini.

Citra Karisma mula diperkenalkan pada tahun 2010 bagi sebagai proses penjenamaan semula program Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dengan penambahan beberapa anugerah bagi menghargai bakat dan sumbangan staf dengan kaedah yang lebih berkesan dan adil.

Pro-Canselor UTM, Tan Sri Dr. Salleh Mohd Nor
Antara ahli pengurusan tertinggi universiti yang hadir.
Pro-Canselor UTM bergambar bersama para pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga AINC pada Citra Karisma 2019

Explore More