April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 3 Jul. — Seramai 700 orang peserta telah menyertai Seminar Falak Kontemporari Kongsi Ilmu Falak dan Astronomi Islam anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Johor dan Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM).

Pengerusi Seminar Falak Kontemporari Peringkat Kebangsaan, Sr. Dr. Othman Zainon berkata sesi perkongsian ilmu dan kepakaran pakar-pakar dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Persatuan Falak Syari’ Malaysia telah diadakan kepada masyarakat melalui platform ‘public outreach’ dalam program ini.

“Perkongsian kepakaran ini dapat membuka ruang kepada masyarakat untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti inovasi sains, teknologi dan matematik (STEM).

Penganjuran ini adalah merupakan susulan hubungan erat antara UTM, Jabatan Mufti Johor, JUPEM, RISM dan Persatuan Falak Syari’e Malaysia dalam bidang Astronomi Islam yang merupakan satu trend yang bukan sahaja mendapat tempat dalam kalangan peminat astronomi tempatan tetapi juga di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu ditemui selepas acara perasmian program berkenaan yang berlangsung di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Johor, YB Tuan Hj. Tosrin Jarvanthi.

Menurutnya lagi, sebanyak lima resolusi telah dicapai dalam seminar itu iaitu membina BaitulHilal (Balai Cerapan) yang moden di negeri Johor, menambah tempat cerapan melihat anak bulan di negeri Johor, menggiatkan lagi kajian ketepatan waktu solat di peringkat nasional, menggalakkan pihak masjid dan sekolah di Johor untuk membina jam matahari di premis masing-masing serta melaksanakan semakan arah kiblat di premis-premis kerajaan, masjid dan kediaman di negeri Johor.

Antara objektif penganjuran program ini adalah untuk memberikan pendedahan dan kefahaman lanjut kepada masyarakat berkaitan isu, masalah dan amalan semasa ilmu falak kepada orang awam dan industri.

“Program ini juga mampu untuk merapatkan dan memperkukuhkan jalinan kerjasama antara akademia dan agensi dalam menangani pelbagai isu ilmu falak.

Sebanyak tujuk kertas kerja juga telah dibincangkan secara terperinci berkenaan dengan isu-isu semasa dalam bidang tersebut seperti penentuan status sah nasab, takwim hijri, jam matahari, penentuan awal subuh dan isyak, cuaca dan musim serta kesalahan dalam penandaan arah kiblat,” katanya lagi.

Turut hadir pada acara perasmian program adalah Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Hamdan Ahmad dan Timbalan Mufti Negeri Johor, Sahibus Samahah Dato’ Hj. Yahya Ahmad.

YB Tuan Hj. Tosrin Jarvanthi (dua kanan) diberikan penerangan mengenai sejarah astronomi dunia sewaktu melawat booth pameran UTM di Pusat Islam Iskandar Johor Bahru selepas merasmikan Seminar Falak Kontemporari Kebangsaan 2019

Explore More