Naib Cansellor ( tengah )bersama vip kehormat semasa majlis pengisytiharan “Kampus Tanpa Plastik Sekali-Guna”

JOHOR BAHRU, 20 Jun –– Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus komited dalam meneruskan agenda kelestarian dan mendukung inisiatif Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) apabila mengorak langkah penting dalam membina masyarakat kampus mesra alam sekitar menerusi pengisytiharaan “Kampus Tanpa Plastik Sekali-Guna” (No Single-Use Plastic) bersempena dengan Majlis Tautan Syawal 1440H, di sini, hari ini.

Pelancaran ini menandakan selepas ini tiada lagi penggunaan plastik sekali-guna dalam semua aktiviti rasmi universiti.

Dengan adanya pengisytiharan program ini maka bermula satu era baharu di UTM iaitu satu era yang mementingkan kelestarian kampus dan menunjukkan dedikasi pihak universiti dalam merealisasikan gagasan pelan Kampus Bersih dan Lestari.

Program pengisytiharaan di kampus lestari UTM dilancarkan bertepatan dengan usaha awal dan komitmen universiti yang menyantuni gagasan pelan Kampus Bersih dan Lestari dan dilancarkan pada Majlis Tautan Ukhuwan Aidilfitri.

Sempena jamuan tersebut, kesemua penggerai dan pengunjung tidak dibenarkan membawa bekas makanan, minuman dan sudu/garpu yang berasaskan plastik dan hanya menggunakan bekas makanan/plastik terbiodegradasi dan berasaskan tumbuh-tumbuhan seperti kanji dan selulosa serta penyediaan tong sampah yang berasingan untuk sisa makanan.

Penjualan bekas makanan mesra alam kepada para pengunjung turut disediakan

Menurut Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar,  sebagai sebuah universiti awam, UTM mengambil peranan besar untuk membantu negara mencapai SGD dengan mendidik masyarakat terutamanya dalam mengamalkan gaya hidup lestari.

Di samping itu UTM turut menitikberatkan SDG untuk kelestarian kerana ianya juga selaras dengan salah satu nilai tunjang yang mendasari pentadbiran universiti iaitu kelestarian.

Menurut beliau juga, di UTM terdapat usaha menjadikan sisa-sisa makanan untuk dijadikan sebagai baja. Dalam jangka masa panjang beliau berharap dapat menjadikan bahan buangan ini sebagai punca pendapatan iaitu “from waste to wealth”.

Sustainable Development Goal ( SDG ) merupakan sebuah agenda Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ( PBB ) yang memperkenalkan 17 matlamat yang harus dicapai menjelang tahun 2030. SDG merupakan sebuah elemen penting kerana ia menjadi tunjang kepada kelestarian dan kesejahteraan komuniti di dalam negara. SDG juga merupakan “tulang belakang” kepada kelestarian di dalam kampus.

Inisiatif semasa yang dijalankan oleh pihak UTM adalah mempraktikkan budaya tanpa plastik dengan menggunakan konsep 3P iaitu Polisi, Perlaksanaan dan Pemantauan bagi mengurangkan penggunaan plastik di dalam kampus.

Naib Cansellor UTM ( tengah ) dalam temuramah mengenai inisiatif SDG bertempat di UTM

Sebagai contoh, pihak UTM telah mengambil langkah proaktif dengan membelanjakan sejumlah yang besar sebanyak RM 60 sehingga 70 ribu sebulan bagi mengurus sisa pepejal dan sebanyak 40% sisa pepejal terdiri daripada bahan buangan yang tidak boleh dikitar semula.

Pihak UTM mensasarkan dengan adanya perlaksanaan agenda “Sifar Sampah” ia dapat menghasilkan impak dengan penurunan sisa plastik domestik menjelang tahun 2022 dan kesemua sisa domestik akan diproses semula bagi menjadikan bahan lain seperti baja dan produk hiliran untuk haiwan ternakan serta tenaga yang boleh diperbaharui.

Di samping itu, pihak UTM juga turut mementingkan isu pelepasan gas karbon di dalam kampus dan dengan adanya pelancaran program ini, ianya dapat menjadi aspirasi kepada pelan Kampus Rendah Karbon, Kampus Sifar Sampah dan Kampus Pengurusan Sampah Efektif

UTM juga turut menjalinkan kerjasama bersama J-Biotech Holdings bagi menjadikan Kampus Tanpa Plastik Sekali-Guna dan Alternatif Plastik Mesra Alam. Kedua-dua pihak ini telah menjalin kerjasama sejak tahun 2018 dan pihak J-Biotech menyokong sepenuhnya usaha UTM dalam melaksanakan SDG dalam memberi khidmat nasihat, informasi dan kesedaran melalui pameran dan penerangan kepada kesemua kakitangan, pengusaha dan pelajar agar lebih menyedari dan peka terhadap kepentingan penggunaan barangan mesra alam dan sifar plastik sekali-guna ini.

Kerjasama ini diharap dapat memberi impak yang positif dan dapat membantu merealisasikan matlamat Sifar Sampah ( pengurangan kos mengurus sampah sehingga 60% ) dan mencapai matlamat SDG ke-12 iaitu Kebertanggungjawaban Pengeluaran dan Penggunaan.

“Kita perlu mewariskan sesuatu yang berharga untuk anak bangsa dan generasi masa depan kerana universiti ialah tempat paling sesuai untuk merealisasi, selain untuk memacu gagasan mensejahterakan rakyat serta alam sejagat,” tambah beliau.