April 20, 2024

Search
Close this search box.

Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkasa hubungan baik dengan pihak industri dalam bidang alam bina dengan menandatangani sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MCM Value Sdn Bhd. pada 3 April 2019 di Dewan Konvensyen, FABU, di UTM kampus Johor Bahru.

MoU tersebut adalah untuk menjalinkan kerjasama erat dalam pengurusan aset strategik.

FABU melalui Construction Economics and Management Research Group (CEM RG) sebelum ini telah menjalin kerjasama penyelidikan bersama MCM Value Sdn Bhd sejak tahun 2017 dalam bidang kerosakan dan kecacatan bangunan, pengurusan nilai dan pengurusan aset strategik.

MCM Value Sdn Bhd ialah perunding profesional yang mengaplikasikan konsep pengurusan nilai untuk membangunkan proses pengurusan dan perniagaan di dalam bidang pembinaan, pengurusan aset strategik, rekabentuk produk dan proses pembuatan.

Sehingga kini, pihak MCM Value Sdn Bhd telah berjaya membantu pelbagai klien awam dan swasta seperti EPU, MAHB dan LLM dalam mengendalikan Makmal Pengurusan Nilai dan telah berjaya menjimatkan lebih RM2bilion kewangan kerajaan dalam mengendalikan projek-projek mega seperti projek lapangan terbang, institusi pengajian tinggi dan infrastruktur kejuruteraan awam dan lebuh raya.

Prof. Madya Sr Dr. Sarajul Fikri Mohamed selaku Ketua CEM RG berkata, pihak beliau amat berbesar hati atas kesudian pihak MCM Value Sdn Bhd bekerjasama dan berkongsi kepakaran dengan pihak UTM.

“Kami mengharapkan agar hubungan ini dapat memberi nilai tambah dan memperkasa kerjasama akademik dan industri dalam bidang alam bina dan pengurusan kos pembinaan,” katanya.

Explore More