April 26, 2024

Search
Close this search box.

Pelajar Fakulti Kejuruteraan UTM Terpilih Dalam Program MOE-Intel Elite Internship

JOHOR BAHRU, 22 Jun – 14 orang pelajar dari Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah terpilih untuk menjalani latihan di Intel melalui sebuah program MOE-Intel Elite Internship yang akan memberi pendedahan tentang perisian reka bentuk cip yang mengikuti standard industri.

Pelajar tersebut merupakan antara 100 orang pelajar dari enam buah universiti awam yang terpilih iaitu Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.

Program kolaborasi antara Intel bersama Kementerian Pendidikan Malaysia tersebut dilancarkan bertempat di Putrajaya di mana syarikat teknologi terkemuka Intel memilih pelajar untuk menjalani latihan industri bersama syarikat terkemuka itu.

Ia dijalankan bertujuan mencungkil bakat-bakat baharu terutamanya golongan muda yang mempunyai daya pemikiran yang cerdas serta idea baharu yang berguna kepada perkembangan teknologi pada masa hadapan.

Program tersebut telah menarik minat ramai pelajar universiti awam di Malaysia untuk mencuba nasib menjadi sebahagian daripada kerjasama berprestij ini.

Dekan  Fakulti Kejuruteraan, Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohammed Rafiq bin Dato’ Haji Abdul Kadir berkata, pemilihan pelajar UTM dalam program ini menandakan bidang kejuruteraan UTM diiktiraf dalam menghasilkan bakal jurutera yang berkualiti tinggi untuk pasaran kerja.

“Kita menekankan aspek komputeran untuk pelajar bagi mempersiapkan mereka menghadapi Revolusi Industri 4.0.’

Saya berharap pelajar-pelajar ini dapat menimba sebanyak boleh ilmu di Intel agar dapat berbakti semula kepada universiti dan masyarakat selepas graduasi,” tambah beliau.

Lim Jia Hui adalah antara pelajar UTM yang dipilih untuk program ini.

Salah seorang pelajar, Lim Jia Hui berkata pelajar diminta untuk menghantar “resume” apabila permohonan telah dibuka sebelum disaring untuk menjalani sesi temuduga bersama Intel yang terbahagi kepada tiga bahagian.

Beliau yang merupakan pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Bio-Perubatan berharap pengalaman dan kemahiran yang dipelajari di Intel dapat melatih dirinya untuk menghadapi dunia pekerjaan sebenar di industri elektrik & elektronik dan IR 4.0.

Muhammad Arif Hakimi bin Zamrai

Muhammad Arif Hakimi bin Zamrai dari bidang Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik pula berkata, pencapaian ini tidak akan dapat menjadi satu realiti jika tiadanya pensyarah yang membanting tulang memberi tunjuk ajar dan didikan kepadanya dalam bidang yang diceburi dan sokongan yang tidak berbelah bahagi oleh kedua-dua ibu bapa dalam mengejar impiannya.

Menurut beliau, pemahaman yang kuat dalam bidang bahasa programming antaranya Verilog (iaitu Hardware Description Language), C-Programming, Perl dan VLSI. Gred telah membantu beliau terpilih untuk menjalani program ini.

 

 

 

Seorang lagi pelajar yang terpilih, Muhammad Zuhaikal bin Ali juga dari bidang Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik meletakkan harapan tinggi untuk menimba ilmu dalam pengendalian Synopsys Electronic Design Automation di Intel kerana ianya amat tidak ternilai dan sangat diperlukan dalam industri.

Muhammad Zuhaikal bin Ali

 

 

Beliau berharap ilmu yang akan diperolehi semasa menjalani latihan akan dapat dikongsi dan diaplikasikan untuk membantu masyarakat sejagat selaras dengan harapan universiti.

Apabila ditanya mengenai harapan dan sumbangan yang dapat diberikan, ketiga-tiga pelajar menjawab dalam konteks yang sama iaitu dapat menggunakan ilmu yang telah diperolehi semasa menjalani latihan dan berkongsi input serta informasi kepada rakan seperjuangan serta kepada masyarakat sejagat.

Ujar mereka lagi pengalaman yang diperolehi tidak akan hanya disimpan malah dikongsi kepada perintis-perintis muda kerana ilmu yang dikongsi tidak akan hilang malah mekar di hati dan nurani.

Harapan mereka lagi bahawa industri- industri lain mengamalkan konsep terbuka kepada pelajar dan memberi pendedahan awal terhadap keperluan semasa industri agar bakal graduan dapat bersedia dengan ilmu yang betul dan cukup bagi menempuhi alam perkerjaan.

Sebahagian pelajar UTM yang menjalani latihan internship merakamkan gambar kenangan di Pejabat Intel, Kulim Hi-Tech Park, Kedah, baru-baru ini.

Explore More