Disember 14, 2024

Search
Close this search box.

Penampilan Artis Ayai Ilusi, Ronnie Hussin dan Siti Chubby Turut Meriahkan Program

JOHOR BAHRU, –  Program yang dinamakan Sebagai Sahur Jangan Tak Sahur anjuran Kolej Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama Adabi di Dataran U4, Kolej Perdana, UTM kampus Johor Bahru baru-baru ini mendapat sambutan hangat melalui kehadiran hampir 500 orang.

Program yang bertujuan untuk menyediakan juadah sahur kepada mahasiswa UTM ini melibatkan seramai 30 orang sukarelawan yang terdiri daripada Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) dan pelajar Kolej Perdana sendiri.

Program ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTM, Prof. Dr. Durishah Idrus , Dr. Norahim Ibrahim (Pengetua Kolej Perdana), Dr. Noor Mala Ibrahim (Pengetua Kolej Tun Fatimah, KTF), Prof. Madya Dr. Mohd Haizal Jamaluddin (Pengetua Kolej Rahman Putra, KRP) serta pegawai-pegawai universiti yang lain.

Selain itu, pihak Kolej Perdana turut menjemput tiga orang artis popular tanahair  iaitu Ronnie Hussein, Ayai Illusi dan Siti Chubby bagi memeriahkan lagi program pada malam tersebut.

Menurut pengarah program, Muhammad Ammaruddin Bin Alusrizan, program kali ketiga ini dilaksanakan bagi mencapai beberapa objektif iaitu merapatkan hubungan silaturahim antara warga kolej di samping memupuk hubungan kekeluargaan.

Program ini juga bertujuan mendekatkan mahasiswa/i dengan program berbentuk kerohanian serta memupuk semangat kerjasama yang tinggi dalam kalangan penduduk Kolej Perdana.

“Ia juga mendedahkan pelajar dengan pengalaman bersahur secara beramai-ramai yang turut menjadi agenda program ini,” ujarnya lagi.

Program bermula jam 10 malam dengan ketibaan pasukan Adabi bersama krew mereka.

Pihak Adabi bermurah hati menaja dan menyediakan menu tambahan dengan bantuan artis jemputan dan penghuni Kolej Perdana.

Tepat pukul 12 malam, program dirasmikan oleh Prof. Dr. Durrishah Idrus dan pengagihan makanan untuk bersahur mula dijalankan.

Sesi ‘Ketuk-ketuk Pintu Kejutkan Sahur’ dilakukan sendiri oleh Prof. Dr. Durishah dengan mengetuk bilik-bilik pelajar yang terpilih untuk edaran juadah sahur diikuti dengan rakaman TV secara langsung oleh stesyen penyiar utama negara, RTM.

Explore More