April 23, 2024

Search
Close this search box.

Pensyarah Muda UTM Diiktiraf Kepakaran Sebagai Juri Pertandingan Inovasi STEM Johor

Oleh: Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin

Tiga orang pensyarah muda Universiti Teknologi Malaysia (UTM) daripada Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan telah dijemput sebagai juri pertandingan Inovasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM.

Mereka ialah Dr Chuzairy Hanri, Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin, dan Puan Marlina Ali yang merupakan penyelidik dalam bidang pendidikan STEM dalam kumpulan penyelidikan Pendidikan Sains dan Matematik UTM.

Pertandingan Inovasi STEM tersebut diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Scientex, Pasir Gudang, Johor pada 25 April 2019.

Pertandingan ini merupakan acara peringkat negeri Johor dan mendapat sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor serta Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang.

Sebagai penyelidik bidang Pendidikan STEM, ketiga-tiga pensyarah UTM terbabit aktif dalam menjalankan kajian mengenai keberkesanan aktiviti pembelajaran STEM luar bilik darjah atau yang dinamakan sebagai Pembelajaran STEM Informal.

Pembelajaran bentuk sebegini merupakan satu bentuk sokongan tambahan kepada pembelajaran dalam bilik darjah yang bersifat formal.

Melalui pertandingan Inovasi STEM ini, pelajar dapat mengaplikasikan pengetahuan STEM mereka dalam merekabentuk produk yang dapat menyelesaikan masalah kehidupan sebenar.

Pemenang tempat pertama telah merekabentuk alat yang memudahkan proses pengasingan sisa makanan di kantin sekolah daripada pinggan yang digunakan oleh pelajar.

Inovasi ini telah memudahkan pihak pengusaha kantin kerana pelajar telah semakin rajin membuat pengasingan sisa daripada pinggan yang mereka gunakan disebabkan adanya alatan terbabit.

Untuk tujuan perlindungan hakcipta, alatan tersebut tidak dapat ditunjukkan di sini.

Tiga pensyarah UTM terbabit bersetuju bahawa pelajar-pelajar sekolah hakikatnya merupakan pelapis Saintis dan Jurutera kerana mereka mengkaji permasalahan kehidupan dan merekabentuk alatan yang sesuai untuk memudahkan masyarakat.

Bakat yang mereka miliki wajar digilap agar negara dapat memperoleh manfaat daripada bakat mereka.’

Jemputan yang diberikan kepada tiga pensyarah UTM terbabit membuktikan bahawa UTM tidak hanya berkhidmat kepada warganya sahaja, bahkan memberi khidmat terbaik kepada masyarakat luar yang dahagakan kepakaran UTM.

“Universiti Untuk Masyarakat” adalah slogan terbaik untuk menggambarkan peranan UTM kepada pembangunan komuniti setempat.

 

 

Explore More