April 20, 2024

Search
Close this search box.

Anak-anak Turut Menerima Sumbangan Duit Raya

Penyerahan Cek Sumbangan kepada Rumah Kebajikan Raudhatul Maryam

JOHOR BAHRU 9 Mei – Seramai 40 penghuni rumah kebajikan Raudhatul Maryam diraikan oleh pelajar-pelajar dan sekretariat 5 Excellent Track Programme (5ETP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam majlis berbuka puasa di Dewan Alumni UTM malam tadi.

Objektif program ini adalah untuk membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan memberi keriangan kepada mereka dalam bulan Ramadan ini. Acara dimulakan dengan penyerahan sumbangan duit raya kepada semua anak di rumah kebajikan tersebut yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dr. Durrishah Idrus.

Prof. Dr. Durrishah Idrus dalam ucapannya berkata UTM, sebagai sebuah universiti awam, sentiasa peka dan mengambil inisiatif untuk membantu masyarakat terutamanya yang berada di sekitar Johor Bahru.

“Diharapkan dengan kehadiran kami dapat memberikan keriangan lebaran dan sedikit semangat kepada adik-adik ini untuk terus berusaha dan berjaya di dalam kehidupan mereka nanti.”katanya.

Prof. Dr. Durrishah bermesra dengan anak-anak Raudhatul Maryam

Menurut Presiden 5ETP, Muhammad Nur Imran Abdul Rashid, sebagai kumpulan pelajar terpilih yang sentiasa mendokong nama baik UTM, 5ETP akan terus menganjurkan program dan aktiviti kebajikan yang mendekatkan diri dengan masyarakat setempat.

“Majlis seumpama ini juga dapat melahirkan rasa keinsafan, kesyukuran, dan kenikmatan dalam kalangan kami,” ujarnya lagi.

Rumah kebajikan Raudhatul Maryam terletak di Taman Pulai Utama, Skudai menempatkan dan memberi pendidikan kepada seramai 43 penghuni, di mana 40 penghuni lelaki dan tiga perempuan berusia lima tahun hingga 18 tahun yang berasal dari negeri ini, Melaka dan Kuala Lumpur.

Yang Dipertuanya, Mohd Nasir Mohd Nor berkata, lapan daripada penghuni adalah anak tidak sah taraf dan yang tiada dokumen menyebabkan mereka tidak dapat ke sekolah.

“Kami mementingkan pendidikan kepada penghuni agar mereka dapat meneruskan persekolahan seperti biasa, manakala bagi anak-anak yang tidak layak ke sekolah kerajaan, mereka diberi pendidikan di asrama.

Syukur, kita berjaya melaksanakannya hasil bantuan tenaga pengajar sukarela terdiri daripada penuntut universiti dan individu,” katanya.

Beliau juga mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan sama ada barangan makanan, keperluan harian dan kewangan.

Pelajar-pelajar 5ETP dari kiri Nurshafitrah, Razan Syazana dan Nuratikah berswafoto bersama TNC (HEP)

5 ETP merupakan program elit dan unik untuk membangunkan bakat, minat, menjana kreativiti dan motivasi secara holistik bagi melahirkan mahasiswa UTM yng dinamik dan berkualiti. Pada ketika ini 5ETP dianggotai oleh 172 orang pelajar terpilih yang bukan sahaja terlibat dan menganjurkan pelbagai program malah mengecapi pelbagai kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Turut diraikan dalam Majlis Iftar Ramadan 5ETP itu ialah barisan penyelaras setiap teras dalam program 5ETP tersebut.

Explore More