Disember 14, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 23 Apr. — Elemen kebajikan masyarakat dan berkongsi rezeki adalah salah satu keunikan yang telah dipaparkan dalam penganjuran program Festival Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (Fesko) UTM ke-62 kini.

Pengajuran FESKO ke-62 ini juga bakal mencatat sejarah sebagai festival konvokesyen yang paling lama pernah dianjurkan dalam sejarah universiti itu dengan penganjuran yang berlangsung selama 10 hari bermula 23 April 2019 hingga 2 Mei 2019.

Pengarah Program FESKO-62, Mohd. Zaiful Zulhizman Mohd. Zaney berkata program ini adalah anjuran tiga pihak iaitu Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej 9 dan 10, JKM Kolej Tun Razak (KTR) dan juga Jawatankuasa Lima Trak Keusahawanan (5ETP).

“Selain mencatat kelainan kerana dianjurkan secara bersama oleh tiga persatuan pelajar yang berbeza, festival kali ini juga unik kerana diselitkan elemen-elemen kebajikan dan perkongsian rezeki dengan golongan kurang berkemampuan.

“Sebagai menunjukkan keprihatinan kami kepada pesakit kanser, setiap RM5.00 dari yuran penyertaan yang diterima penyewa booth akan didermakan kepada Yayasan Tunku Laksamana Johor sebagai simbol sokongan yang padu kepada yayasan itu,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai elemen kebajikan yang ditampilkan, Mohd. Zaiful berkata pihak penganjur juga buat pertama kalinya telah membuat pesanan khas Set Kari Kambing sebanyak 500 set dari pemilik restoran Kari Kambing 40 Hari di Simpang Renggam, Johor.

“Set kari kambing ini akan diagihkan kepada mahasiswa golongan B40 (golongan pendapatan keluarganya bawah RM3,000 sebulan) dan juga golongan fakir-fakir miskin serta anak-anak yatim dari kawasan berdekatan.

“Makanan ini akan diagihkan kepada golongan sasaran pada 25 April 2019 dalam acara ‘Makan Lambarque’.

Diharapkan agar golongan sasar dapat memanfaatkan aktiviti ini kerana pertama kali ‘jamuan makan’ sebegini dianjurkan dalam sejarah Fesko UTM,”katanya.

Fesko UTM ke-62 juga telah muncul sebagai program pertama dalam sejarah penganjurannya yang menerima sumbangan terbesar dari pemilik jenama makanan segera terkemuka di Malaysia, McDonalds.

“Sebanyak RM10,000.00 tajaan telah diterima oleh pihak penganjur. Selain itu, McDonalds juga telah menaja set makanannya untuk diagihkan kepada golongan B40 dan juga pengunjung secara percuma.

“Khemah McDonalds juga menyediakan perkhidmatan pertanyaan kepada orang ramai dan juga bakal-bakal graduan serta para mahasiswa mengenai prospek kerjaya yang ditawarkan, peluang perniagaan yang ada serta ruang-ruang yang boleh dimanfaatkan oleh mahasiswa yang ingin melakukan Latihan Industri di syarikat itu,” katanya.

Program itu telah dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Ismail Karim pada 23 April 2019 bertempat di Dataran UTM. Turut hadir adalah Naib Canselor, Prof. Dato’ Ir. Dr. Wahid Omar dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durisshah Idrus.

Sebagai pengarah program Mohd. Zaiful juga berharap agar peluang sebegini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan sasaran.

“Setiap program telah diatur dengan sebaik mungkin. Elemen-elemen seperti kebajikan, peluang pekerjaan dan juga segmen pengetahuan telah cuba untuk diseimbangkan sebaik mungkin bagi membolehkan pengunjung mendapat manfaat sambil berhibur.

“Sepertimana sebelumnya, gerai makanan dengan harga berpatutan juga disediakan untuk kemudahan pengunjung menikmati juadah kesukaan masing-masing,” katanya.

Dato’ Ismail Karim (lima kanan) selepas acara perasmian Fesko ke-62 UTM di Dataran UTM.

Explore More