April 18, 2024

Search
Close this search box.

 

Nik Norlydiawati (dua dari kiri) bersama pemenang perak dan gangsa acara 63kg wanita

JOHOR BAHRU, 10 Apr. —  Pelajar dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang juga merupakan atlet judo negara, Nik Norlydiawati Nik Azman telah melakar satu lagi kejayaan apabila muncul juara kategori wanita dengan merangkul emas bagi kategori 63kg dalam Kejohanan Judo Kebangsaan di sini, baru-baru ini.

Ia merupakan kegembiraan berganda buat pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains serta Pendididikan (Sains Sukan) kerana terpilih secara automatik untuk menyertai pasukan kebangsaan yang akan bertanding pada Sukan SEA 2019 yang bakal berlangsung di Manila, Filipina penghujung November ini.

Nik Norlydiawati yang juga merupakan pelajar program ‘signature’ UTM 5 Excellence Track Programmes (5ETP) mewakili Terengganu meraih emas setelah menewaskan Lee Pei San dari Pulau Pinang dalam aksi final yang sengit.

Bakal Wakili Malaysia dalam Sukan Sea 2019

“Ini merupakan antara pencapaian terbaik saya dalam sukan judo tahun ini kerana dengan peluang keemasan ini saya sekali lagi dapat mewakili negara dalam kejohanan Sukan SEA di Manila 2019.

Ini juga satu peluang kepada saya untuk memperbaiki pencapaian gangsa di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.”

Beliau yang baru pulih sepenuhnya dari kecederaan siku yang dialami pada 2017 ketika latihan pusat di Mongolia turut berkata pencapaian itu adalah sesuatu peningkatan yang baik jika dibandingkan dengan pencapaian pada kejohanan tahun lepas.

Bersama pasukan kejurulatihan pasukan Judo Terengganu

Kejohanan ini dianggap sebagai medan pemilihan bagi Sukan SEA akan datang dan mengumpulkan hampir semua ‘Judoka” terbaik negara.

Terengganu muncul juara keseluruhan dengan menggondol empat emas, lima perak dan sembilan gangsa disusuli Pulau Pinang dengan empat emas, dua perak dan dua gangsa, tempat ketiga Sekolah Sukan Terengganu dengan kutipan empat emas, satu perak dan enam gangsa dan Johor di tempat keempat dengan tiga emas, dua perak dan satu gangsa.

Tempat keenam hingga ke-12 ialah ATM, Selangor, Sekolah Menegah Bintang Utara SBU KL, Melaka, Sabah, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail dan Wilayah Persekutuan.

 

Explore More