April 25, 2024

Search
Close this search box.

KOTA TINGGI, 23 Feb. — Seramai 40 orang mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berpeluang menyantuni penduduk warga emas di Kampung Tanjung Serindit, Kota Tinggi apabila mereka menyertai sebuah Program Khidmat Masyarakat yang dinamakan ‘CSR Warga Emas D’Serindit’.

Program ini merupakan program yang julung-julung kalinya diadakan dan dianjurkan oleh Persatuan Pengurusan dan Penilaian Harta Tanah (PEHARTA) UTM dan Persatuan Mahasiswa Ukur Tanah (PEMETA) UTM dengan kerjasama pihak Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA),

Program ‘CSR Warga Emas D’Serindit’ yang berlangsung selama sehari ini bertujuan untuk melahirkan rasa simpati, kasih sayang dan keprihatinan disamping memberi sokongan moral kepada warga emas di sana.

Program ini juga memberi peluang kepada para pelajar untuk merapatkan lagi hubungan dengan golongan warga emas selain membantu untuk membersihkan kawasan rumah warga-warga emas yang terpilih yang melibatkan lapan buah rumah warga emas yang berumur antara 70an hingga 90an.

Pelajar yang terlibat terdiri daripada 20 orang pelajar daripada PEMETA dan 20 orang pelajar PEHARTA dan diiringi oleh Dr Shazmin Shareena Ab. Azis selaku Penasihat Persatuan PEHARTA.

Selain daripada membersihkan kawasan rumah warga emas yang terpilih, pihak KEJORA juga telah menyediakan 16 batang anak pokok kelapa mawar di mana sebuah rumah akan menanam dua batang pokok tersebut di sekitar halaman rumah mereka sebagai tanda penghargaan.

Turut diberi peluang juga oleh pihak Kampung Tanjung Serindit untuk bersiar-siar melihat keindahan kampung dengan menaiki bot dan bersantai di Rumah Rakit Ikhwan yang berdekatan dengan kampung tersebut.

Hasil maklum balas daripada pelajar-pelajar yang terlibat berasa bertuah kerana terpilih menyertai program ini kerana dapat memberikan bantuan dan sumbangan tenaga kepada golongan yang memerlukan dan berharap agar dapat lagi bekerjasama dengan pihak KEJORA dalam menjalankan program khidmat masyarakat pada masa akan datang.

Program ini disempurnakan oleh Pengurus Besar KEJORA, Encik Norazman Bin Othman diiringi oleh Encik Salem Bin Md Osman merangkap Pengurus Bahagian Pembangunan Sosial dan Pemajuan Desa, KEJORA.

Pada masa yang sama, turut menjayakan program ini adalah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Tanjung Serindit yang terdiri daripada Tok Md Faizul Bin Md Fadhzil selaku Penghulu Mukim Tanjung Surat, Tuan Haji Kamsani Bin Abdul Rahman merangkap Ketua Kampung Tanjung Serindit, Encik Mohd Hizan Bin Joalis selaku penggerak Kampung Tanjung Serindit, dan Haji Mohd Asry Bin Kulop Abdul Raof merangkap sebagai Pengerusi Ahli Jawatankuasa Masjid An-Nur Kampung Tanjung Serindit.

Explore More