April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 3 Mac — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan menjadi penganjur utama bagi penganjuran persidangan akademik terbesar yang julung kali diadakan di Malaysia iaitu ‘Asia-Pacific Association for International Education Conference & Exhibition’ atau APAIE 2019.

APAIE ialah persidangan akademik bukan-perubatan terbesar di Malaysia dan akan diadakan dari 25 hingga 29 Mac 2019 dengan tema ‘Diversity and Incluisivity of Higher Education in the Asia Pacific’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar berkata penyertaan di APAIE 2019 ini akan memberikan peluang kepada IPT Malaysia untuk mengembangkan rangkaian dan meningkatkan kesohoran di peringkat antarabangsa sejajar dengan Lonjakan Lapan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) iaitu Keunggulan Global.

Ia juga untuk menyokong inisiatif-inisiatif Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) universiti untuk memastikan pendidikan berkualiti yang inklusif dan saksama dan meningkatkan peluang pembelajaran seumur hidup untuk semua.

Sehingga hari ini, seramai 2,142 delegasi akademik dari 56 buah negara seluruh dunia telah mengesahkan kehadiran.

“Ia akan mengumpulkan profesor, pegawai perhubungan antarabangsa, pegawai akademik dan serjana dari seluruh dunia untuk berkongsi tentang perkembangan baharu dalam pendidikan antarabangsa dan pengantarabangsaan institusi pengajina tinggi (IPT) di rantau Asia Pasifik.

Oleh yang demikian, penganjuran aktiviti sebesar ini akan memberikan manfaat kepada UTM selaku hos dari segi kerjasama penyelidikan, perkongsian ilmu akademik, penerbitan bersama dan kedudukan (ranking) dan secara keseluruhannya akan meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia,” tambah Datuk Wahid.

Beliau berkata demikian ketika memberikan kenyataan akhbar di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru pagi tadi. Turut hadir adalah Pengarah Pendidikan Global UTM International, Prof. Dr. Nor Haniza Sarmin.

Prof. Wahid berkata melalui APAIE 2019 ini juga akan membuka pandangan dan idea tentang pendidikan dari seluruh dunia untuk dilaksanakan di peringkat universiti bagi meningkatkan kualiti pendidikan.

“Bagi penganjuran APAIE 2019, rekod telah menunjukkan peningkatan yang ketara dalam aspek penyertaan dan ini mencerminkan perkembangan positif tentang pendidikan di rantau ini dan simbol pengiktirafan antarabangsa terhadap peranan Asia Pasifik dalam pengantarabangsaan pendidikan,” katanya lagi.

Permaisuri Johor yang juga Canselor UTM, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah akan menyampaikan ucaptama semasa hari pelancaran majlis tersebut iaitu pada 26 Mac 2019.

UTM telah dinobatkan sebagai tuan rumah utama untuk acara ini pada 2016 dan ini akan meningkatkan kesohoran dan penjenamaan universiti ini dalam landskap pendidikan tinggi di seluruh dunia.

Acara itu akan dianjurkan bersama oleh Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Management & Science University (MSU), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Untuk mendaftar untuk acara ini, layari https://www.apaie2019.org/.

 

Explore More