April 25, 2024

Search
Close this search box.

Perkongsian Pengalaman Penganjuran Program Komuniti & Pembelajaran Servis Anjuran SHARPS UTM

JOHOR BAHRU, 27 Feb. — Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Program Sesi Perkongsian Pelaksanaan Program Libat Sama Komuniti Dan Pembelajaran Servis yang diadakan pada 26 Februari 2019, bertempat di Bilik Jamuan, T08, UTM.

Program yang diadakan dari jam 2.30 petang dan berakhir pada jam 5.00 petang ini mengetengahkan dua orang penceramah berpengalaman yang berkongsi kejayaan mereka menganjurkan program libat sama komuniti dan pembelajaran servis yang melibatkan pelajar dan masyarakat awam.

Penceramah yang sudi berkongsi pengalaman mereka ialah Prof. Madya Dr. Noraini Abu Talib dari Azman Hashim International Business School dan Dr. Siti Rokiah Siwok dari Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi.

Profesor Madya Dr. Noraini Abu Talib telah berkongsi pengalaman mengenai proses kerja pelaksanaan program libat sama komuniti dan pembelajaran servis dan keperluan serta prosedur bagi pelaksanaan program libat sama komuniti dan pembelajaran servis.

Manakala, Dr. Siti Rokiah Siwok berkongsi pengalaman mengenai kaedah pengisian borang program libat sama komuniti dan pembelajaran servis.

Perkongsian pengamalan oleh dua orang penceramah berpengalaman ini diharap dapat menambah ilmu pensyarah yang terlibat bagi turut menyumbang ilmu dan kepakaran dalam pembangunan komuniti setempat.

Konsep libat sama komuniti adalah merujuk kepada proses di mana organisasi dan individu membina secara berterusan atau hubungan tetap melalui kerjasama yang memberi manfaat kepada masyarakat menerusi program komuniti.

Pelaksanaan program komuniti berimpak tinggi pula merujuk kepada program atau projek yang dilaksanakan oleh Universiti dengan penglibatan komuniti dalaman (pelajar, penyelidik dan warga kampus) dan komuniti luar (setempat dan global) termasuk pihak industri.

Hakikatnya, program pembelajaran servis dan libat sama komuniti ini mampu merapatkan hubungan antara masyarakat dan komuniti universiti dan juga merupakan satu proses memasyarakatkan universiti.

Ia merangkumi penyertaan warga universiti dari awal dengan mengenal pasti isu-isu dalam masyarakat dan menggerakkan sumber-sumber dan strategi yang relevan bagi membantu masyarakat mencapai perubahan yang positif.

Sehubungan itu, adalah penting bagi ahli akademik turut serta dalam memperluaskan peranan universiti dalam penyebaran ilmu dan maklumat bagi membantu pembangunan komuniti setempat dan meningkatkan taraf hidup masyarakat.

Disediakan oleh : Dr. Fadilah Zaini & Dr. Halimah Mohd Yusof

http://humanities.utm.my/sharp/

Explore More