April 25, 2024

Search
Close this search box.

Pelajar FABU Menyinar di Malaysia Urban Forum 2019

JOHOR BAHRU, 12 Mac – Pelajar-pelajar dari Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mencipta kenangan manis apabila telah menyumbang idea, konsep dan inovasi dalam menangani cabaran masa hadapan penempatan bandar di Malaysia Urban Forum (MUF) 2019.

Ini merupakan hasil insiatif FABU sendiri yang mengambil pendekatan unik iaitu menganjurkan pertandingan rekabentuk Malaysia 100 Year Cities (M100YC) di peringkat fakulti bagi mendapatkan idea dan inovasi yang terbaik di kalangan pelajar.

Mengambil semangat UTM Sinergi 4.0, di antara syarat utama bagi menyertai pertandingan ini ialah di mana setiap kumpulan pelajar mestilah merangkumi gabungan 2 atau lebih program.

Ini adalah bertujuan untuk memastikan idea dan inovasi reka bentuk yang dihasilkan lebih holistik dan menyeluruh.

Hasil daripada pertandingan itulah, idea yang terbaik telah dibawa dan dipamerkan di Malaysia Urban Forum (MUF) 2019 yang berlangsung pada 18 hingga 19 Februari 2019 di Pusat Konvensyen KLCC baru-baru ini.

Pelajar FABU UTM yang terpilih telah membentangkan hasil kerja mereka dengan memilih aspek mobiliti bandar sebagai tema utama rekabentuk mereka.

Dilancarkan oleh Pengarah Eksekutif UN Habitat, Dato’ Maimunah Mohd Sharif, program M100YC menekankan kepada beberapa aspek utama iaitu inovasi teknologi, mobiliti bandar, infrastruktur pintar dan tadbir urus komuniti.

M100YC peringkat kebangsaan merupakan sebuah projek mendekati universiti-universiti di Malaysia dalam memperolehi idea dan inovasi ke arah bandar yang lebih baik untuk 100 tahun yang berikutnya

Dengan penglibatan sebanyak 11 universiti awam dan swasta di Malaysia, program M100YC merupakan anjuran URBANICE Malaysia iaitu sebuah pusat kecemerlangan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang memberi penekanan ke arah membina bandar yang lebih baik di Malaysia.

Proses perbandaran yang pesat memberi tekanan kepada bandar-bandar utama di Malaysia dalam menghadapi cabaran masa hadapan telah memberi inspirasi kepada URBANICE Malaysia untuk menganjurkan program M100YC tersebut.

Terdahulu sebelum ini, sebuah memorandum persetujuan (MoA) telah ditandatangani antara URBANICE dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) yang menganugerahkan geran sebanyak RM 10,000 bagi menyumbang idea dan inovasi dalam merancang dan membina bandar di Malaysia yang lebih baik untuk 100 tahun yang akan datang.

 Kumpulan pelajar FABU di Malaysia Urban Forum (MUF 2019)

Sesi pembentangan idea dan inovasi di Kuala Lumpur Convention Centre pada 18-19 Februari 2019 

 

Sesi pembentangan idea dan inovasi di Kuala Lumpur Convention Centre pada 18-19 Februari 2019 

Explore More