April 20, 2024

Search
Close this search box.

HULU LANGAT, 29 Jan. — Selaras dengan usaha membudayakan semangat kesukarelawan berasaskan ilmu serta menggalakkan libatsama komuniti dalam pengajaran dan pembelajaran, Pusat Kursus Kokurikulum dan Pembelajaran Servis (CCSL), UTMSPACE dan Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) sekali lagi bergerak aktif untuk menganjurkan program ‘UTM Community Engagement’ – Pembelajaran Servis Simenfero.

Kali ini CCSL telah berkerjasama dengan Pejabat ADUN Hulu Langat dan Komuniti Dusun Tua bagi menjayakan program tersebut.

Ianya dilaksanakan dengan tujuan untuk mengukuhkan budaya kesukarelawan berasaskan ilmu serta usaha libatsama dalam pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan komuniti.

Program perkongsian ilmu ini diketuai oleh Dr. Nurul Alifah binti Jatarona selaku penasihat program dan dibantu oleh En Mohd Hazri bin Ishak, penolong penasihat program dan diselia oleh Penyelaras Pembelajaran Servis Kursus Kokurikulum (CCSL), Encik Aminudin bin Ali.

Seramai 29 orang pelajar diploma sepenuh masa UTMSPACE dari UTMKL yang diketuai oleh Pengarah Program, Afiq bin Azhar terlibat selaku fasilitator.

Mereka telah mengajar dan membantu peserta dalam menghasilkan empat set bangku dan meja simenfero serta beberapa planter box.

Program ini telah disertai oleh 32 orang peserta yang terdiri daripada staf-staf UDA Holdings, Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID) dan  orang awam.

Majlis telah dirasmikan oleh YDH Tuan Abdul Jalil bin Dato’ Ungku Abdul Rani, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon 1 MPKJ.

Majlis diserikan lagi dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri Dusun Tua, YB Tuan Edry Faizal bin Eddy Yusof di Balai Raya Batu 15, Kg. Dusun Tua, Hulu Langat.

Penyampaian sijil penghargaan kepada mereka yang terlibat dilakukan pada majlis penutupan dengan sijil disampaikan oleh Pn Ramona Abd. Rahim, Timbalan Pengarah CCIN.

Program komuniti libatsama UTM akan dilaksanakan secara bersiri pada setiap bulan.

Justeru, kepada warga kampus UTMKL yang berhasrat untuk menjalin sinergi dengan pihak CCIN, penglibatan bersama amatlah digalakkan.

Sebarang pandangan serta idea berhubung konsep atau bentuk pelaksanaan program boleh dipanjangkan kepada pihak urusetia di talian 03 21654500 – En. Mohd Zuhaili.

Explore More