April 20, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 5 Jan. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Kumpulan Perubatan Penawar Sdn. Bhd. (Penawar) telah menubuhkan Pusat Terapi & Pembelajaran ‘Little Genius’ yang bertujuan memberikan fokus kepada aktiviti terapi dan pembelajaran kanak-kanak berkeperluan khas (autisme).

Pusat terapi ini adalah yang pertama seumpamanya yang ditubuhkan di dalam kampus Universiti Awam (UA) di Malaysia.

Terletak di Rumah Alumni, pusat ini telah pun dibuka kepada umum hari ini dengan kehadiran di luar jangkaan di mana seramai lebih 250 keluarga telah mendaftar dan hadir untuk mendengar taklimat yang diberikan.

Ketua Penyelidik bagi Kumpulan Penyelidik Community Development & Education (CDE), Dr. Dayana Farzeeha Ali berkata CDE akan mengendalikan pusat ini secara bersama dengan Penawar Special Learning Centre (PSLC).

“CDE ialah kumpulan penyelidikan yang membuat aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bidang pendidikan dari Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UTM Johor Bahru.

Sebagai penyelidik, kami akan mengendalikan aktiviti penyelidikan dan kajian kes berkaitan dengan pendidikan kanak-kanak berpenyakit autisme sementara sesi terapi dan pengurusan pusat ini akan dijalankan oleh PSLC yang berpengalaman dalam memberikan khidmat terapi autism,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di pusat terapi berkenaan selepas memberikan taklimat di hari terbuka pusat itu semalam.

Turut hadir adalah Pengarah Unit Endowmen UTM, Prof. Madya Dr. Yusof Boon dan wakil PSLC, Ruwinah Abdul Karim.

Menurut Dr. Dayana, idea untuk menubuhkan pusat ini tercetus melalui beberapa penglibatan beliau dalam program kesedaran autisme dan juga melalui hasil penyelidikan beliau yang mendapati ramai anak staf UTM dan juga komuniti sekitar Johor Bahru yang berkeperluan khas.

“Kebanyakan ibu bapa dan juga ahli keluarga mempunyai kesedaran di tahap yang tinggi mengenai kepentingan pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas ini tetapi tidak mampu untuk menghantar anak masing-masing kerana kos yang dikenakan agak tinggi.

“Oleh yang demikian, penubuhan pusat ini yang mengenakan yuran berpatutan iaitu serendah RM 70.00 setiap sesi diharapkan dapat membantu mana-mana ibu bapa atau penjaga yang kurang berkemampuan untuk terus mendapatkan rawatan di sini,” katanya.

Menurutnya lagi, hasil kewangan yang diperolehi dari pusat ini sebahagiannya akan dimasukkan ke dalam akaun tabung endowmen bagi membantu pelajar UTM yang kurang berkemampuan untuk menghabiskan pengajian masing-masing di UTM.

Dr. Dayana berkata melalui pusat ini juga, masyarakat akan dapat menyediakan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak berkeperluan khas ini sekaligus dapat meningkatkan kualiti hidup mereka.

Antara aktiviti yang diadakan ialah sesi ceramah berkaitan dengan masalah pembelajaran, ceramah belajar melalui bermain, pemeriksaan saringan Autisme secara percuma, sesi terapi percuma, aktiviti kraftangan dan kesenian untuk anak-anak.

“Selain memberikan khidmat terapi, pusat ini juga berkeupayaan untuk melatih ibu bapa dan penjaga bagi menangani karenah anak-anak autism ini,” katanya lagi.

Dari kiri Ruwinah Abdul Karim, Prof. Madya Dr. Yusof Boon dan Dr. Dayana melayani kanak-kanak autism di Pusat Terapi & Pembelajaran “Little Genius” di Rumah Alumni UTM Johor Bahru

Explore More