April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 10 Nov. – Ikatan perkahwinan mungkin bagi sesetengah orang merupakan halangan dalam menuntut ilmu, namun sama sekali tidak bagi pasangan suami isteri ini, malah ikatan tersebutlah yang menjadi pemangkin untuk mereka berjaya.

Muhammad Khairullah Nor Azmi dan juga isterinya Nur Suhaili Abd. Aziz,  telah berjaya menamatkan pengajian masing-masing dan menerima skrol bersama pada Majlis Konvokesyen (MK) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-61 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, di sini, hari ini.

Muhammad Khairullah memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Mikroelektronik manakala isterinya pula memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang yang sama. Mereka menuntut di Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) UTM Kuala Lumpur.

Bercakap dalam sidang media yang diadakan selepas MK-61, Muhammad Khairullah berkata perkahwinan bukan menjadi masalah yang besar jika ingin berjaya dalam pelajaran.

“Kami berkahwin pada 28 Oktober 2017 ketika berada dalam tahun akhir pengajian. Saya masih ingat ketika itu kami suami isteri sedang berusaha keras untuk menyiapkan tesis dan juga persiapan bagi pembentangan akhir (viva).

“Disebabkan isteri mengambil jurusan yang sama, kami menjadikan ikatan perkahwinan itu sebagai pemangkin untuk berjaya kerana ia memudahkan kami untuk membantu antara satu sama lainnya dalam membuat persediaan untuk viva,” katanya.

“Pasangan yang belajar juga harus tahu menguruskan masa dengan sistematik dan mempunyai asas disiplin diri yang kuat, ” katanya di akhir perbualan.

Muhammad Khairullah Nor Azmi (kanan) bersama isterinya, Dr. Nur Suhaili Abd. Aziz selepas sesi penganugerahan ijazah di Majlis Konvokesyen ke-61 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru

Explore More