April 26, 2024

Search
Close this search box.

Graduan pertama Program ‘Double-Degree’ UTM-University of Kent tamat pengajian dengan cemerlang

JOHOR BAHRU, 12 Nov. – Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-61 meraikan graduan pertama yang dianugerahkan Program Dwi Ijazah (Double-Degree) Jabatan Sains Matematik Industri, Fakulti Sains dan University of Kent, United Kingdom.

Foo Weoi Ming, 25, telah menerima ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik Industri) dari UTM yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, kampus Johor Bahru pagi tadi. BSc in Actuarial Science dari University of Kent telah dianugerahkan kepada beliau pada bulan Julai yang lalu. Beliau juga merupakan pelajar tajaan daripada Yayasan UTM.

Foo diapit oleh Dekan Fakulti Sains, Prof. Dr. Abdull Rahim Mohd. Yusof (kiri) dan Timbalan Dekan, Prof. Madya Dr. Fadhilah Yusof (kanan)

Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Sains, Prof. Madya Dr. Fadhilah Yusof berkata program dwi ijazah atau “double-degree’ ini terhasil daripada kerjasama kedua-dua universiti yang dimaterai pada tahun 2015.

“UTM dan University of Kent telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) pada 23 Jun 2015 bagi menjalinkan kerjasama untuk menawarkan program akademik yang berbentuk dwi ijazah dari kedua-dua universiti tersebut.

Program Dwi Ijazah merupakan gabungan dua program pengajian daripada bidang berbeza yang melibatkan dua universiti di dalam atau luar negara. Menerusi program ini, pelajar akan menerima dua ijazah yang berasingan selepas berjaya memenuhi semua syarat-syarat penganugerahan yang telah ditetapkan oleh kedua-dua universiti.

“Di bawah program ini, mahasiswa terbabit akan menerima dua ijazah iaitu Sarjana Muda Sains (Matematik Industri) dari UTM dan Bachelor of Science in Actuarial Science dari University of Kent, Canterbury, UK dalam tempoh lima tahun.” katanya.

Turut hadir dalam sesi wawancara tersebut ialah Dekan Fakulti Sains, Prof. Dr. Abdull Rahim Mohd. Yusof.

“Kami akan melakukan saringan terhadap semua mahasiswa program Sarjana Muda Matematik Industri yang memperoleh sekurang-kurangnya PNGK 3.5 pada semester ke 4. Mahasiswa yang terpilih perlu menghabiskan semua subjek teras dan subjek umum Universiti pada tahun 3 di UTM”.

Menurutnya lagi, mahasiswa juga mestilah telah menyelesaikan subjek Projek Sarjana Muda (PSM) yang telah ditetapkan oleh pihak universiti dengan lebih awal iaitu dalam tahun ketiga pengajian dan telah menamatkan Latihan Industri.

“Bagi melengkapkan program ini, mahasiswa terlibat haruslah mengikuti formula 3 + 2 iaitu 3 tahun di Fakulti Sains UTM dan dua tahun lagi di Universiti of Kent at Canterbury sekaligus melayakkan graduan berkenaan menerima Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik Industri) dari UTM dan juga Ijazah Sarjana Muda Sains (Sains Aktuari) daripada Universiti of Kent, Canterbury, UK.

Berdasarkan kriteria tersebut, selain Foo Weoi Ming, Nur Syaza Aqilah Zaini telah dipilih untuk menjadi salah seorang penerima biasiswa Yayasan UTM untuk meneruskan Program Dwi Ijazah UTM-Kent. Nur Syaza Aqilah Zaini telah berangkat ke University of Kent di Canterbury, UK pada Oktober 2018.

”Program bersifat global ini bertujuan untuk melahirkan siswazah yang berkualiti serta menepati permintaan industri serta meningkatkan profil UTM di peringkat antarabangsa selain menyediakan universiti ini dalam penawaran kursus ini di masa akan datang” katanya lagi.

Dr. Fadhilah berkata, selain daripada mempromosikan graduan dalam bidang Matematik Industri, program dwi Ijazah ini juga bertujuan bagi menyediakan UTM untuk menjadi sebuah institut pengajian tinggi yang akan menawarkan kursus Sains Aktuari pada masa hadapan.

“Oleh yang demikian, program secara berkembar ini juga adalah sebahagian daripada usaha kami untuk mewujudkan tenaga pengajar yang setaraf kepakarannya dengan yang berada di University of Kent dan seterusnya mampu untuk membantu universiti menawarkan program ini di dalam negara,” katanya.

Beliau juga berharap UTM melalui Fakulti Sains juga akan menjadi universiti tumpuan bagi program ini kepada negara rantau Asia Tenggara.

“Pihak Fakulti Sains amat berterima kasih kepada Yayasan UTM kerana telah memberikan peluang kepada Foo Weoi Ming dan Nur Syaza Aqilah Zaini bagi melanjutkan Program Dwi Ijazah mereka di University of Kent, Canterbury, UK.

Tajaan daripada Yayasan UTM ini bukan sahaja dapat membantu merealisasikan impian mereka di dalam bidang Sains Aktuari, malah turut menjadi penyuntik semangat kepada mahasiswa yang lain untuk melanjutkan pengajian dalam Program Dwi Ijazah ini.

Semoga bantuan dan sokongan dari pihak UTM ini akan dapat menjadi pemangkin untuk mereka menyumbang kembali kepakaran dan pengalaman yang diperolehi kepada pembangunan Malaysia di masa hadapan

Explore More