April 20, 2024

Search
Close this search box.

Warna-warni Kempen Pilihan Raya Kampus UTM Sesi 2018/2019

Dengan berakhirnya penamaan calon pada petang 22 Oktober 2018 maka bermulalah kempen Pilihan Raya Kampus (PRK) bagi sesi 2018/2019 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi kedua-dua kampus iaitu di Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Sesi penamaan calon bagi Pilihanraya Kampus UTM 2018 bagi kampus Johor Bahru telah diadakan di Perpustakaan Raja Zarith Sofea manakalabagi kampus Kuala Lumpur telah diadakan di Dewan Bankuet, Dewan Tan Sri Ainudin Wahid, UTM Kuala Lumpur.

Pada sesi PRK kali ini 30 buah kerusi akan dipertandingkan di mana 13 mewakili kerusi Umum dan 17 adalah mewakili kerusi Fakulti/Sekolah.

Sepanjang tempoh berkempen iaitu 23 – 24 Oktober pelbagai aksi dan suasana kemeriahan dapat dirasai oleh seluruh warga UTM terutamanya golongan pelajar.

Menariknya bagi PRK kali ini ialah kesemua yang terlibat dalam pengurusan ialah pelajar, manakala pengurusan UTM hanya bertindak sebagai ‘SPR’ kampus. Ini bagi memastikan demokrasi adalah dapat dilaksanakan dengan sempurna dan bagi menyahut seruan Menteri Pendidikan YB Maszlee Malik, iaitu untuk memberikan kuasa kepada pelajar di universiti awam untuk melakukan dan menguruskan pilihan raya kampus tanpa campur tangan pentadbir universiti.

PRK 2018/2019 ini juga merupakan julung kalinya melibatkan kesemua pelajar UTM yang berdaftar, iaitu dari peringkat prasiswazah, pascasiswazah dan sehingga ke pelajar luar kampus. Ini bagi memastikan kesemua pelajar memperoleh hak memilih yang sama rata bagi menentukan pihak yang akan mewakili mereka sebagai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Oleh itu inilah kali pertamanya terdapat pelajar dari kalangan pascasiswazah menjadi calon bagi pilihanraya kali ini.

Dijangkakan seramai 21, 319 bilangan pelajar akan mengundi pada hari penentuan iaitu pada 25 Oktober 2018.

Oleh itu kepada semua pelajar UTM, ayuh keluar mengundi!

Pihak Universiti mengucapkan selamat maju jaya kepada semua yang bertanding dan selamat mengundi kepada semua pelajar dan semoga semuanya berjalan lancar.

#jomundi

#UTMPRK2018

Explore More