April 20, 2024

Search
Close this search box.

Projek Komuniti: Fun with Microbit: Towards Physical Computing Literacy

Kuala Lumpur, 9 Ogos 2018: Fakulti Teknologi & Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur telah menganjurkan satu bengkel pengaturcaraan Microbit pada 8 dan 9 Ogos 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Titiwangsa, Kuala Lumpur melibatkan hampir empat puluh orang pelajar tingkatan dua dan lima orang guru. Bengkel ini dirasmikan oleh Puan Rohana Binti Yusof yang merupakan Pengetua SMK Puteri Titiwangsa.

Bengkel ini merupakan sebahagian daripada Program Komuniti Fun with MicroBit: Towards Physical Computing Literacy yang merupakan projek kerjasama UTM, PERINTIS, IEEE Malaysia AP/MTT/EMC, IEEE Malaysia COMSOC & VTS dan Elvira Systems Sdn. Bhd. di bawah Pusat Jaringan Komuniti Industri (CCIN). Projek ini ditaja oleh PERINTIS dan Fakulti Teknologi & Informatik Razak. Objektif utama program ini adalah untuk membantu pelajar sekolah memahami dan mengaplikasi asas pengaturcaraan dengan penggunaan perkakasan.

Para peserta didedahkan dengan pembelajaran interaktif secara praktikal yang memberi faedah dan impak kepada pelajar secara terus dalam mengaplikasikan teknologi terkini. Program ini dikendalikan secara praktikal oleh staf akademik UTM dan dibantu oleh pelajar universiti. Ilmu yang diperolehi mampu membantu para peserta dalam meningkatkan kefahaman mereka dalam kemahiran pengaturcaraan yang bermanfaat bagi memenuhi kriteria silibus Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) di sekolah.

Bagi tujuan penilaian penguasaan ilmu dan sebagai aplikasi program, para pelajar diberikan tugasan secara berkumpulan. Sesi pembentangan pelajar dan upacara penutup serta penyampaian hadiah akan diadakan pada 15 Ogos 2018. Menurut Ketua Projek, Dr. Azizul Azizan, program Microbit ini dapat memupuk semangat kerjasama sesama pelajar, merapatkan hubungan di antara sekolah dan pihak universiti serta mencungkil bakat dan minat baru di kalangan pelajar sekolah.

“Program seperti ini sangat bermanfaat untuk para pelajar di mana kemahiran pengaturcaraan yang diperolehi dapat dimanfaatkan secara terus oleh para pelajar terutama bagi subjek Rekabentuk Teknologi (RBT) dan Asas Sains Komputer (ASK). Seperti yang sering saya ingatkan kepada para pelajar, hari ini perlulah lebih baik daripada semalam. Oleh itu, kita semua haruslah sentiasa menimba ilmu yang baru setiap hari. Terutamanya, ilmu yang bakal didapati daripada program ini merupakan ilmu yang disampaikan oleh pakar dalam bidang kejuruteraan yang tidak dapat diperolehi di sekolah”, kata Pengetua SMK Puteri Tititwangsa, Kuala Lumpur pada pembukaan program.

Explore More