April 20, 2024

Search
Close this search box.

10 Perkara Utama yang Wajib diperhalusi untuk menjadi Juara Piala Dunia

Bolasepak adalah merupakan ibu sukan dalam sesuatu kejohanan. Kemenangan dalam sukan bolasepak adalah merupakan kemenangan utama dalam sesuatu kejohanan sukan. Sukan bolasepak juga mempunyai kejohanan utama setiap 4 tahun sekali iaitu Piala Dunia FIFA. Piala dunia FIFA atau selalunya disebut sebagai piala dunia merupakan pertandingan yang paling penting dalam bolasepak antarabangsa. Fasa pertandingan akhir biasanya melibatkan 32 pasukan kebangsaan yang bertanding selama 4 minggu di negara tuan rumah yang di calonkan, yang mana pertandingan ini paling ramai penontonnya di dunia. Uruguay adalah merupakan negara pertama yang memenangi piala dunia dan Brasil adalah negara yang paling kerap memenangi piala dunia sejumlah 5 kali.

Bolasepak juga terkenal dengan permainan berseni kerana merupakan sukan yang paling lama bertahan tanpa menggunakan sebarang unsur teknologi demi menjaga kesenian pertandingan bolasepak tersebut. Sejarah bolasepak bermula di Malaysia pada tahun 1920 dengan tertubuhnya persatuan bolasepak Malaysia di Kuala Lumpur pada tahun 1920 di bawah pimpinan Andrew Caldecott. Sejak detik itu, permainan bolasepak kerap di gerakan oleh FAM dan semakin banyak rakyat yang gemar main bolasepak di dataran tempat Piala HMS (kini Piala Malaysia) dianjurkan. Singapura adalah pemenang pertama kejohanan ini dan Selangor merupakan pemenang paling banyak dalam sejarah Piala Malaysia. 20 tahun selepas Andrew Caldecott meninggal dunia pada 1951, banyak pemain pasukan Malaysia yang mewakili Malaysia dalam kejohanan antarabangsa. Mereka ialah Mokhtar Dahari (pemain terbaik di Asia dan pemenang bola emas AFC), Hassan Sani, Isa Bakar, dan James Wong.

Soroton penulis sewaktu di zaman persekolahan, bolasepak adalah merupakan sukan utama dalam subjek pendidikan jasmani (PJ).  Setiap pelajar pasti tertunggu-tunggu waktu PJ untuk bermain bolasepak di padang sekolah. Jika di lihat kembali ke waktu zaman persekolahan pelbagai teknik dan kaedah yang dilakukan oleh jurulatih dan pengurus sekolah demi memastikan kemenangan pasukan bolasepak sekolah. Antaranya, jurulatih akan memastikan penghawa dingin bas akan di tutup sepanjang perjalanan ke venue pertandingan, ini supaya pemain  berada di dalam kondisi terbaik dan tidak lemau semasa bertanding, jurulatih juga tidak benarkan pemain di urut 4 atau 5 jam sebelum kejohanan agar otot bersiap sedia untuk perlawanan pertandingan, pengurus pasukan akan menyediakan supplemen tambahan seperti buah oren, pisang, tongkat ali dan sebagainya untuk dapatkan tambahan tenaga buat pemain dan pelbagai lagi perkara yang akan dilakukan untuk membantu meningkatkan prestasi pasukan.

Selain itu, pasukan tuan rumah juga bijak mengatur strategi untuk memastikan kemenangan 3 mata di perolehi. Antara strategi yang sering digunakan adalah seperti menyediakan hidangan berat sebelum perlawanan seperti mee goreng dan nasi goreng buat pemain lawan sebaliknya tuan rumah hanya makan makanan ringan sebelum pertandingan bermula. Asrama penginapan yang disediakan untuk pemain lawan juga jauh dari venue padang latihan mahupun padang pertandingan supaya pasukan lawan sukar untuk berlatih dan melakukan persiapan akhir. Mesyuarat pengurus juga diadakan pada lewat tengah malam sebelum pertandingan bermula pada esok hari untuk melengahkan persediaan strategi pasukan sebelum kejohanan. Penubuhan pasukan sorak dan gendang untuk melemahkan psikologi pihak lawan semasa perlawanan juga biasa di lakukan di padang demi mencapai kemenangan pasukan. Semua ini adalah merupakan strategi – strategi unik yang dilakukan untuk perlawanan peringkat sekolah mahupun negeri. Apatah lagi perlawanan yang melibatkan negara seperti pertandingan Piala Dunia, pasti kaedah saintifik yang lebih moden dan sahih di guna pakai untuk memastikan kemenangan pasukan.

Di zaman era globalisasi moden ini sains dan bolasepak bergerak seiring dan berkembang pesat. Pelbagai kajian saintifik di lakukan oleh Institusi Sukan Negara masing masing untuk memastikan kemenangan pasukan negara mereka. Keputusan kajian yang diperolehi dirahsiakan dan diguna pakai oleh pasukan negara tersebut untuk memastikan kemenangan dan kejuaraan. Malahan beratus ribu duit dilaburkan dan digunakan demi untuk memastikan persediaan pasukan secara berkesan dan pengurusan sistematik seperti penggunaan teknologi sukan, cara pemakanan sukan, kaedah latihan sukan yang berkesan dan fasiliti kemudahan sukan bertaraf dunia. Malahan terdapat negara di dunia sudah tidak lagi membuang masa mengasah bakat pemain tetapi sebaliknya mereka mementingkan pemilihan genetik sukan yang bersesuaian untuk  individu yang terlibat dalam sukan sejak mereka dari kanak kanak lagi.

Antara tumpuan kajian yang sering dilakukan adalah seperti kejurulatihan dan kaedah latihan yang berkesan, nutrisi sukan yang boleh meningkatkan prestasi atlet, pencegahan kecederaan dan rehabilitasi sukan, kemudahan peralatan sukan dan permukaan padang yang baik, analisis sebelum, semasa dan selepas pertandingan sukan, perkembangan bakat muda sukan, pencarian bakat atlet dan lain lain. Sebagai contoh untuk kejurulatihan dan kaedah latihan yang berkesan, Jurulatih adalah arkitek yang bertanggungjawab merangka hala tuju corak permainan yang akan di persembahkan oleh pasukan bolasepak masing masing. Kepentingan ilmu jurulatih dalam memberi latihan yang berkesan agar pemain dapat beraksi dengan cemerlang dalam pertandingan tidak dapat disangkal lagi. Keupayaan jurulatih dalam merangka strategi permainan berkesan semasa pertandingan adalah sangat penting. Kesemua pasukan kelab gergasi dunia akan berlumba-lumba untuk melobi dan membeli jurulatih terbaik dunia seperti Jose Mourinho, Pep Gardiola, Arsene Wenger, Alex Ferguson  dan lain lain untuk memastikan kejayaan pasukan.

Selain itu, kemudahan sukan dan peralatan sukan adalah merupakan antara faktor penyumbang utama kemenangan pasukan bolasepak pada hari ini. Kepentingan kemudahan sukan dan peralatan sukan dalam membantu meningkatkan prestasi pasukan bolasepak boleh dirujuk melalui kejayaan kelab JDT Malaysia. Inisiatif yang diambil oleh pihak pengurusan JDT seperti menyediakan kemudahan padang latihan tertutup, kemudahan gudang gym, kemudahan kolam renang dan hydrotherapy, kemudahan latihan altitude dan kemudahan spa dan sauna secara langsung membawa manfaat dan kesan yang positif dalam sukan bolasepak negeri Johor Darul Takzim.  Kemudahan yang disediakan adalah merupakan keperluan utama dalam menghasilkan bakat sukan bertaraf dunia. Ya memang tidak dinafikan ada pasukan yang boleh berjaya tanpa kemudahan bertaraf dunia. Walaubagaimanapun ia hanya 1 dalam 1000 dan dengan adanya kemudahan prasarana lengkap sebegini kita boleh ketahui tahap profesionalisme dari aspek pengurusan sukan dan sumber kewangan pasukan.

 

Pencarian bakat atlet sukan juga merupakan salah satu komponen penting dalam menentukan kejayaan sesebuah sukan. Kewujudan Sekolah Sukan Malaysia telah banyak membantu atlet sukan berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti awam. Mereka yang terpilih di Universiti awam giat berlatih bersama pasukan universiti masing masing. Sebagai contoh kerjasama yang telah dilakukan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail dan Universiti Teknologi Malaysia telah berjaya melahirkan ramai atlet negara yang berkelulusan ijazah dan berkerjaya tetap seperti cikgu di sekolah dan pegawai sukan di kementerian sukan. Kejayaan atlet negara ini menjawat jawatan cikgu memberi manfaat yang besar kepada pembangunan sukan pelajar di sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Jika dahulu dalam kejohanan pertandingan sukan, sekolah yang akan menjuarai pertandingan sudah boleh dijangka pada peringkat awal. Namun kini saingan semakin sengit seperti Piala Dunia 2018, ramalan juara agak sukar untuk mengetahui sekolah yang akan memenangi pertandingan sukan peringkat daerah mahupun negeri apabila cikgu yang melatih anak murid sekolah itu sendiri adalah merupakan bekas atlet negara. Sudah pasti latihan yang diberikan memberi impak besar berdasarkan pengalaman cikgu bekas atlet negara sendiri. Ini sedikit sebanyak membuka mata ramai pihak, atlet juga mampu memperolehi segulung ijazah. Misi negara dalam menghasilkan world class thinking atlet membuahkan hasil dengan memberi kelonggaran jadual belajar yang lebih flexible untuk mereka berlatih dan bertanding mewakili Malaysia. Malahan hampir kesemua jurulatih Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail kini adalah merupakan graduan Universiti Teknologi Malaysia dan juga merupakan bekas atlet Negara.

Gambarajah 1: Kesemua gambar di atas adalah merupakan olahragawan dan olahragawati Universiti Teknologi Malaysia di mana mereka pernah mewakili negara dalam Sukan Asia & Sukan SEA yang kini menjawat jawatan pegawai pendidikan di sekolah menengah dan merupakan graduan Sarjana Muda Pendidikan Sains Sukan UTM.

 

Seterusnya adalah merupakan analisis sebelum, semasa dan selepas pertandingan sukan. Kewujudan team analisis perlawanan adalah satu proses pemudahcara dalam sukan. Ia dapat membantu jurulatih dan atlet mengenalpasti kelemahan dan kekuatan semasa pertandingan. Langkah Universiti Teknologi Malaysia mengambil inisiatif meluluskan penubuhan Sports Innovation Technology Centre (SITC) adalah 1 langkah yang bijak. Penubuhan SITC melibatkan kerjsama pelbagai bidang di bawah satu pusat iaitu Sains Sukan, Kej. Mekanikal, Kej. Elektrikal, Kej Biomedical dan lain lain bidang yang berkaitan. Sports Innovation Technology Centre iaitu sebuah pusat penyelidikan di bawah payung Institute Human Centred Engineering (IHCE) UTM ditubuhkan bagi melaksanakan kerja kerja penyelidikan untuk meningkatkan prestasi atlet dan pembangunan alat teknologi sukan dan rehabilitasi sukan. Antara kemudahan yang ada dibawah SITC adalah seperti Lab Fitness Gym, Lab Hidrotherapy, Lab Motion Analysis, Lab Sports Testing,Lab Engineering Design, Lab Antarcthica dan lain lain. Selain itu, kerjasama ini tidak hanya tertumpu kepada sebuah pusat sahaja malah merentasi multidisplinary iaitu MAGICX centre dan IJN CARDIOVASCULAR centre juga sedikit sebanyak mengukuhkan pasukan penyelidik IHCE. Pelbagai kajian yang telah dilakukan untuk memastikan atlet UTM atau JOHOR mencapai kemenangan semasa pertandingan. Antara Analisis kajian yang berjaya dilakukan SITC telah berjaya membantu bekas pelajar Sarjana Muda Pendidikan Sains Sukan UTM iaitu saudara Mohd Fakhrul Izzat Affandi muncul Juara Welterweight Mimma 5 dan pasukan Tarik tali Negeri Johor dan pasukan Rugbi Sukma JOHOR.

Gambarajah 2: Gambarajah di atas menunjukan kerjasama penyelidik SITC dan Atlet Johor iaitu saudara Mohd Fakhrul Izzat sebelum, semasa dan selepas MIMMA 5. Beliau memakai seluar yang dicop jenama UTM semasa perlawanan akhir MIMMA 5. Tahniah alumni UTM.
Gambarajah 3:- Aktiviti dan Program Lab Fitness GYM dibawah kendalian Sports Innovation Technology Centre UTM.

 

Gambarajah 4:- Aktiviti dan Program Lab hydrotherapy dibawah kendalian Sports Innovation and Technology Centre UTM
Gambarajah 5:- Kawasan Senaman Terbuka di Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Kejuruteraan.
Gambarajah 6:- Kerjasama penyelidikan bersama SITC dan Team Wanita Johor Sukma Rugby Team berkenaan komponen kecergasan berasaskan Kesihatan dan Lakuan Motor
Gambarajah 7:- Kerjasama SITC bersama skuad under 19 Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail berkenaaan Kekuatan dan Persekitaran Sukan. 
Gambarajah 8 :- Kerjasama SITC bersama skuad Tarik Tali Negeri Johor berkenaan Kaedah Latihan dan Analisis Prestasi Sukan

 

Daripada semua maklumat di atas penulis lebih tertarik dari sudut psikologi sukan. Ini kerana penulis percaya pasukan yang telah berjaya ke perlawanan Final / Akhir sudah pasti telah melakukan persediaan awal dari semua sudut. Dalam sains sukan terdapat 4 komponen penting yang perlu di berikan perhatian iaitu komponen fizikal, teknikal, taktikal dan yang terakhir komponen psikologi sukan. Setiap komponen di atas perlu di kuasai dengan baik kerana ia merupakan asas piramid prestasi setiap jenis sukan. Untuk komponen fizikal dan teknikal ia lebih kepada fasa persediaan awal dan fasa persediaan umum di mana jenis-jenis latihan yang dapat meningkatkan fizikal atlet di berikan semasa peringkat awal latihan sebagai contoh latihan jeda, latihan larian ulang alik, latihan fartlek, latihan bebanan dan lain lain jenis latihan. Begitu juga dari sudut teknikal, latihan asas fundamental kemahiran dan teknik diperkasakan supaya pemain dapat menguasai teknik asas bolasepak seperti menanduk, menggelecek, sepakan bola percuma dan penalty, membaling bola dan lain lain. Dengan penguasaan teknik yang tepat dapat membantu pemain bermain cemerlang di atas padang. Dari sudut kompenen taktikal pula, jurulatih akan memilih taktikal yang akan digunapakai semasa pertandingan sebenar. Terdapat pelbagai jenis taktitkal permainan seperti 3-5-2, 4-3-3,4-4-2 dan yang membezakan adalah kesesuaian dan kebijaksanaan formula yang dipilih semasa pertandingan berlangsung. Apa yang pasti  perlawanan final menuntut psikologi yang tinggi buat pemain dan pasukan. Pasukan yang mempunyai psikologi yang positif  dan percaya mereka adalah Sang JUARA akan mempunyai kelebihan mencapai kemenangan. Ketenangan dalam menghadapi perlawanan akhir adalah kunci utama kemenangan.

 

10 PERKARA UTAMA yang WAJIB diperhalusi untuk menjadi JUARA PIALA DUNIA dan PASUKAN BOLASEPAK BERKELAS DUNIA.

  1. Tapering and Peaking for Optimal Performance

 Tapering adalah merupakan tempoh rehat dan jenis rehat yang bersesuaian di berikan kepada pemain supaya mencapai kemuncak prestasi pertandingan. Sudah pasti tempoh 4 minggu pertandingan akan menyebabkan keletihan kepada setiap pemain. Pasukan yang berjaya mengaplikasikan formula tapering yang baik akan mampu mengatasi tahap keletihan pertandingan sepanjang tempoh 4 minggu sekaligus mencapai kemenangan dalam perlawanan FINAL Piala Dunia.

  1. Perodiazation Training for Sports

 Perodisasi adalah merupakan jadual latihan tahunan pasukan. Perancangan jadual latihan yang sistematik secara tahunan dapat menjangkakan kemuncak prestasi pasukan untuk mencapai kemenangan. Setiap pasukan mempunyai tempoh 4 tahun untuk merancang supaya mencapai kemuncak prestasi semasa final PIALA DUNIA 2018.  Sudah pasti final kali ini akan memberikan kelebihan kepada pasukan FRANCE kerana mempunyai pengalaman bermain final Piala Dunia. Namun begitu berdasarkan statisik pertandingan Piala Dunia setiap 20 tahun kejohanan menunjukan akan ada pasukan yang tidak pernah menang piala dunia berjaya muncul JUARA.

  1. The power of FOCUS; sports psychology

 Umum sudah ketahui dalam dunia sukan badminton pertarungan sengit perlawanan single badminton adalah antara Dato Lee Chong Wei dan Lin Dan. Hasil kajian yang di lakukan menunjukan faktor kekalahan Lee Chong Wei kepada Lin Dan bukanlah di atas sebab faktor fizikal, teknikal mahupun taktikal. Keputusan kajian menunjukan Lee Chong Wei mempunyai keupayaan yang setara seperti Lin Dan. Walaubagaimanapun keupayaan Lin Dan dari sudut psikologi adalah sangat tinggi kerana kepercayaan dirinya adalah sang JUARA. Ia jelas dapat dilihat kemampuan Luka Modric membawa pasukan CROTIA ke final Piala Dunia walaupun keadaan tempat latihan yang serba kekurangan dan suasana perang sejak dari kanak kanak lagi. Ini jelas membuktikan psikologi adalah komponen UTAMA dalam mencapai kemenangan.

  1. Sports Performance Analysis

 Faktor paling utama kemenangan pasukan bertaraf dunia adalah kewujudan pasukan match analisis semasa pertandingan. Kewujudan pasukan match analisis dapat memberi maklumat utama kepada jurulatih bahagian kelemahan pasukan pihak lawan dan kecenderungan corak permainan pihak lawan semasa bermain bolasepak. Ini dapat membantu jurulatih untuk melihat data yang valid dan reliable sekaligus meggunakan data ini untuk merangka corak permainan yang bersesuaian dan menggunakan kelemahan pihak lawan untuk mencapai kemenangan.

  1. Injury prevention and Rehabilitation

 Dunia pernah di gemparkan bahawa pemain bolasepak David Beckham iaitu kapten pasukan England menghadapi kecederaan patah tulang sebelum kejohanan Piala Dunia. Walaubagaimanapun dengan tempoh berbaki 2 minggu pasukan perubatan England berjaya memulihkan kecederaan David Beckham bagi memboleh David Beckham bermain semasa Piala Dunia. Kecederaan yang berlaku kepada pemain utama boleh menjejaskan persediaan pasukan. Ini jelas terbukti  pada perlawanan akhir champion leagues 2018 antara LIVERPOOL DAN REAL MADRID, Mohammad Salah menghadapi kecederaan dan terpaksa keluar padang. Di akhirnya, Liverpool kalah dalam perlawanan akhir 2-1 tersebut kerana kehilangan pemain utama dan penjaring gol utama mereka. Oleh itu, pelaburan terhadap perubatan dan alatan perubatan yang baik serta latihan pencegahan kecederaan secara betul dapat membantu prestasi pasukan untuk mencapai kemenangan. Kebanyakan pemain yang hebat mengupah jurulatih peribadi untuk melatih mereka latihan pencegahan kecederaan dan melatih daya tahan otot mereka supaya tidak mudah tercedera. Perlawanan Final yang menjelang pasti menyebabkan beberapa pemain telahpun mengalami kecederaan kecil dan perlu diberi rawatan segera dan terbaik supaya mereka dapat memberi persembahan secara optima di FINAL PIALA DUNIA 2018.

  1. Successful Coaching

Kejurulatihan adalah bukan satu perkerjaan yang mudah.  Malahan risiko jawatan ketua jurulatih adalah sangat tinggi kerana beliau boleh dipecat pada bila bila masa. Walaupun jurulatih tersebut bekas pemain terulung dunia, belum tentu beliau mampu menjadi seorang jurulatih yang hebat. Sebagai contoh bekas lagenda Argentina iaitu Diego Maradona adalah merupakan pemain berbakat walaubagaimanapun beliau gagal sebagai seorang jurulatih. Untuk pasukan berkelas dunia, mereka sangat jelas dengan perkara ini. Oleh itu, team jurulatih di wujudkan untuk membantu Jurulatih  Utama pasukan bolasepak. Setiap jurulatih mempunyai kepakaran spesifik yang tertentu seperti jurulatih penjaga gol, jurulatih strength and conditioning, jurulatih psikologi dan lain lain. Perlawanan final menuntut karisma, komunikasi berkesan dan kepimpinan coach yang sangat tinggi. Jurulatih yang berjaya memberi impak yang positif kepada setiap individu dalam pasukan akan membawa kejayaan dalam kejohanan pertandingan

  1. Talent Identification Development

 Seperti kita sedia maklum bakat-bakat pemain hebat seperti Lionel Messi, Christiano Ronaldo, Zidane Zidane, Luka Modric dan kebanyakan mereka semua nya adalah melalui program scouting yang intensif sejak mereka kecil lagi. Lionel Messi di kesan bakatnya oleh pasukan Barcelona walaupun disahkan mempunyai penyakit terbantut, walaubagaimanapun pasukan Barcelona melatih dan memberi rawatan kepada Messi sehingga beliau kini diiktiraf sebagai pemain terbaik dunia. Zidane Zidane adalah merupakan seorang pemain bolasepak jalanan yang berbakat, bakat beliau dikesan ketika beliau sedang bermain street soccer. Christiono Ronaldo di beli oleh Alex Ferguson setelah melalui perlawanan persahabatan antara Manchester United dan Sporting Lisbon. Walaupun pada peringkat awal Christiano Ronaldo di kritik kerana suka menggelecek bola, jurulatih alex furgeson berjaya membentuk beliau menjadi pemain yang seimbang dari segala aspek dan hebat di padang. Moral of stories, untuk menghasilkan pemain yang hebat perlu ada team talent identification yang hebat.

  1. Sports Nutrition

 Kelab- kelab ternama bolasepak dalam dunia sukan akan menyediakan makanan dan suppleman khas kepada atlet mereka sendiri. Setiap individu dalam pasukan tersebut mempunyai sukatan karbohidrat, protein dan vitamin yang berbeza oleh sports nutritionist mereka. Kadar ini mengikut jumlah berat masing masing dan posisi pemain semasa di dalam padang. Jadi atlet dapat memberi tumpuan penuh kepada latihan pasukan tanpa risau memikirkan makanan yang perlu dimasak selepas berlatih.

  1. Perjawatanan Sukan

 Kebanyakan jurulatih peringkat akar umbi menjalankan tugas sebagai  jurulatih secara part-time. Tiada jawatan tetap yang ditawarkan dan mereka di berikan elaun sebagai jurulatih part-time melainkan jawatan jurulatih tetap di sekolah sukan malaysia. Untuk berhenti kerja hakiki mereka dan memberi fokus sepenuhnya kepada kejurulatihan bolasepak masih belum boleh dilaksanakan lagi di Malaysia. Ini kerana elaun jurulatih pasukan bawah 21 tahun hanya sekadar cukup makan dan ia juga boleh dilihat melalui pemain muda yang berjaya mewakili negeri masing- masing dalam skuad Piala Presiden. Di mana elaun yang sangat rendah dan mereka terpaksa mencari kerja tambahan untuk menampung keluarga. Pemain tersebut akan berjaya memperolehi gaji yang besar sekiranya terpilih mewakili pasukan yang terlibat dalam Piala Malaysia. Justeru itu, jelas sukan bukan lah satu peluang pekerjaan yang baik kepada atlet. Kebanyakan atlet akan terlibat secara sepenuh masa sekiranya terpilih mewakili pasukan negara / Malaysia.

  1. Pengurusan Sukan dan Kepimpinan Sukan

Isu utama dalam pengurusan sukan adalah isu ketirisan yang berlaku. Begitu banyak kebocoran dana kewangan sukan yang diendahkan. Dana yang diurus tadbir dengan baik dapat di gunakan untuk mencari dan melatih bakat-bakat baru dari peringkat akar umbi serta dapat menyediakan prasarana dan alatan sukan berkelas dunia. Selain itu, subjek pendidikan jasmani di sekolah juga perlu disemak semula supaya menjadi subjek utama dalam sistem pemarkahan sekolah. Kepimpinan persatuan sukan juga seharusnya tidak dipolitikan biarlar orang yang sepatutnya diletakan di tempat yang betul kerana mereka lebih ketahui isu dan permasalahan yang berlaku dalam dunia sukan.

Kesimpulan dari perbincangan di atas, dasar pandang ke timur (JEPUN DAN KOREA) yang diperkenalkan oleh Tun. Dr Mahathir Mohammad suatu ketika dahulu kini giat diperkenalkan semula. Beliau percaya banyak manfaat yang boleh di contohi dengan kebangkitan kedua negara tersebut sebagai kuasa ekonomi dunia. Sebagai contoh yang paling mudah dalam dunia sukan, satu ketika dulu pasukan bolasepak Jepun dan Korea kita berjaya kalahkan di bawah pimpinan kapten malaysia Allahyarham Mokthar Dahari. Namun hingga kini, kita jauh ketinggalan dalam sukan bolasepak mahupun ekonomi dunia. Bagaimana sebuah negara yang telah di jatuhkan BOM ATOM berjaya bangkit dan menjadikan pasukan bolasepak mereka sebaris gergasi dunia. Apa yang lebih mengejutkan mereka berjaya mengalahkan kita dalam sukan Sepak Takraw di mana merupakan sukan tradisi Negara Malaysia. Apabila kita membaca semua kenyataan 10 perkara utama untuk menjadi JUARA PIALA DUNIA di atas pasti kita akan merasa tercabar dan menganggap itu semua mustahil dan tidak akan berlaku di atas pelbagai faktor seperti faktor kewangan dan faktor sosio-budaya. Paling mudah di Malaysia, tidak ada ibu bapa yang akan mengambil risiko untuk melabur untuk menjadikan anak mereka jaguh sukan negara sejak kecil lagi kerana kejayaan utama adalah dalam pelajaran dan memperolehi keputusan cemerlang serta mendapat pekerjaan yang baik. Malahan kebanyakan jurulatih jurulatih sukan di Malaysia di hantar mengambil kursus kejurulatihan ke Negara-Negara Eropah untuk mendalami skill kejurulatihan mereka. Mengapa tidak satu hari nanti kita contohi pembangunan sukan di JEPUN dan KOREA yang merupakan negara ASIA yang berjaya memberi saingan kepada pasukan dunia yang lain. PERSOALAN TERAKHIR YANG PERLU DIAJU  KEPADA DIRI KITA SENDIRI, PADA TAHUN BILAKAH  PASUKAN MALAYSIA AKAN LAYAK KE PERTANDINGAN PIALA DUNIA?? dan APAKAH SUMBANGAN YANG KITA TELAH LAKUKAN UNTUK KEMAJUAN SUKAN NEGARA??

Sekian,terima kasih. Kerana TUHAN untuk MANUSIA.

 

Nukilan Ikhlas,

Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip
Fellow Members
Sports Innovation Technology Centre
Institute Human Centred Engineering

Explore More