April 26, 2024

Search
Close this search box.

Pelancaran produk perisian “Cargo Monitoring and Management System for HS Cargo Express (M) Sdn. Bhd.”

JOHOR BAHRU, 14 March 2018 – Fakulti Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan pelancaran produk perisian “Cargo Monitoring and Management System for HS Cargo Express (M) Sdn. Bhd.”.

Perisian ini adalah hasil dari geran kontrak yang telah diketuai oleh Prof. Dr. Muhammad Shafie bin Abd Latiff bersama ahli kumpulan Prof. Dr. Abdul Hanan Abdullah dan Prof. Dr. Kamalrulnizam bin Abu Bakar.

Memorandum Persefahaman dan Memorandum Perjanjian telah ditandatangani bersama Syarikat HS Cargo Express (M) Sdn Bhd pada 12 Oktober 2017.

Syarikat HS Cargo Express adalah sebuah syarikat logistik tempatan yang menyediakan perkhidmatan penghantaran kargo melalui daratan, udara, dan lautan, beserta pemeriksaan kastam bagi destinasi dalam dan luar negera. Syarikat ini telah beroperasi lebih dari 10 tahun dan beribu pejabat di Taman Puteri Wangsa, Johor  Bahru, Johor.

Syarikat HS Cargo Express mempunyai hampir 100 pelanggan dalam dan luar negara serta mengendalikan 10 hingga 15 transaksi pesanan setiap hari.

Kebanyakan penghantaran meliputi Singapura dan selatan semenanjung.

Kajian telah dibuat terhadap keseluruhan rantaian bekalan (supply chain) bagi  operasi pengangkutan dan logistik syarikat. Hasil dari kajian, satu sistem mengenai pemantauan dan pengurusan kargo telah dibina, bermula dari pesanan pelanggan sehingga pengurusan kewangan dan pembayaran komisyen pemandu.

Perisian terdiri dari empat (4) modul iaitu Modul Pengurusan Pesanan (Order Management Module), Modul Penjadualan Pesanan (Order Scheduling Module), Modul Pembayaran (Payment Module) dan Modul Informasi (Information Module).

Modul Pengurusan Pesanan mengendalikan pesanan baru yang diterima melalui panggilan telefon atau emel.

Modul ini mampu memantau pelanggan baru, pesanan baru, pengendalian status kenderaan atau trak.

Notis siap siaga (alert) disediakan bagi memberi notis awal mengenai status cukai jalan, insuran, pemeriksaan Puspakom dan servis kenderaan syarikat.

Modul Penjadualan Pesanan mengendalikan proses pengagihan kargo kepada pemandu dan trak serta memantau penghantaran kargo dari titik mula pengambilan hingga sampai kepada penerima kargo.

Status berbentuk garis memberikan gambaran terus kepada syarikat mengenai status kedudukan kargo samada sedang atau telah selamat sampai ke destinasi.

Modul Pembayaran mengendalikan pembayaran komisyen kepada pemandu trak. Pemandu trak adalah petugas bebas (freelance) dan bukan sebahagian dari pekerja syarikat.

Modul Informasi merupakan modul penjana laporan. Keseluruhan perisian ini telah berjaya disiapkan dan diuji dalam tempoh masa kurang dari 6 bulan.

Majlis pelancaran ini dihadiri oleh Dekan Fakulti Komputeran Prof. Dr. Abdul Samad Ismail, Dekan Research Alliance in Smart Digital Community Prof. Dr. Mohd Aizaini Maarof, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi Fakulti Komputeran Prof. Dr. Kamalrulnizam Abu Bakar, Ketua Penyelidikan Pervasive Computing Research Group (PCRG) Prof. Dr. Abdul Hanan Abdullah bersama CEO syarikat Hj Salman bin Ismail dan beberapa orang wakil Syarikat HS Cargo Express (M) Sdn Bhd.

Hasil dari projek ini beberapa geran penyelidikan baru telah berjaya diperolehi iaitu Geran Insentif Industri/Antarabangsa (IIIG) dan Geran Kolaboratif Penyelidikan (CRG) yang jumlah keseluruhan RM145,000.

Adalah diharapkan jalinan kerjasama UTM dan Industri dalam aktiviti penyelidikan ini dapat memberikan impak yang besar kepada UTM, komuniti dan Negara.

 

 

Explore More