April 25, 2024

Search
Close this search box.

UTM-Belia 4B Gelang Patah anjur Program Kayuhan Lestari

JOHOR BAHRU, 29 Mac 2018 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Gerakan Belia 4B Gelang Patah Johor telah menganjurkan Program Kayuhan Lestari – Green Up Your Pedal sempena Hari Tanpa Kenderaan UTM.

Dr. Mohd Fadhil (empat kiri) dan Dr. Zaini (enam kanan) menyertai Kayuhan Lestari, Tabung Kelestarian dan Earth Hour UTM di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, Johor Bahru.

Pengarah Kelestarian UTM, Prof. Madya Ir. Dr. Mohd Fadhil Md. Din berkata, program kayuhan itu disertai oleh 40 peserta sebagai tanda menyokong kempen Hari Tanpa Kenderaan UTM dalam usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida di dalam kawasan kampus.

“Program ini akan menjadi penanda aras baharu dalam transformasi kelestarian di peringkat Universiti yang membantu kepada pemahaman jelas dan penglibatan bersepadu kesemua agensi –agensi pelaksana di dalam dan luar kampus,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Kayuhan Lestari, Tabung Kelestarian dan ‘Earth Hour’ sempena Hari Tanpa Kenderaan UTM yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, YB Dr. Haji Zaini Hj Abu Bakar, di Foyer Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru.

Turut hadir adalah Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam, Prof. Dr. Khairul Anuar Kassim.

Pelancaran program itu diaspirasikan menerusi sokongan YB Dr. Haji Zaini dan Gerakan Belia 4B Gelang Patah sempena dengan pengwujudan Tabung Endowmen Kelestarian.

Dr. Fadhil berkata, menerusi perlaksanaan kenderaan elektrik UTM (e-car), kerjasama Renault dan e-bus akan membantu meningkatkan daya tarikan kepada warga kampus dan orang awam untuk mengenali lebih dekat sistem pengangkutan awam di UTM.

“Jaringan dan sistem pemetaan pengangkutan awam akan ditambahbaik dengan menawarkan pengurangan kekerapan kenderaan bahan api fosil menggunakan laluan-laluan tertentu di sekitar kampus.

“Pewujudan zon dan kawasan penggunaan kenderaan mesra alam sekitar seperti kenderaan hibrid, elektrik dan sikal letrik akan membantu promosi berterusan budaya lestari di dalam kampus di samping mengelakkan berlakunya peningkatan kes trafik yang berlaku saban tahun,” katanya.

Pelancaran Tabung Kelestarian UTM bakal dimanfaatkan oleh warga kampus dalam membantu mewujudkan kerjasama strategik di antara individu, korporat, industri dan paling utama organisasi yang berteraskan alam sekitar.

“Wadah tabung ini akan dimanfaatkan melalui program berterusan seperti pengindahan landskap, modul dan kursus akademik dalam bidang kelestarian, endowmen pokok dan pembajaan semula, program kesedaran serta kesukarelawanan yang bakal dikongsi oleh warga kampus.

“Tabung ini juga akan membantu promosi utama inisiatif Kampus Rendah Karbon dan meningkatkan penyelidikan berkaitan,” katanya lagi.

 

Explore More