April 23, 2024

Search
Close this search box.

Kenangan semasa kecil dorong buat kebajikan bila dewasa – Sis Sabriah

JOHOR BAHRU, 4 April 2018 – Kenangan menjalani kehidupan zaman kanak-kanak dengan amalan berkongsi telah menjadi pendorong kepada seorang wanita kelahiran Johor Bahru bagi menjalankan kerja kebajikan membantu orang lain yang lebih memerlukan.

Sis Sabriah (kiri sekali) menerima cenderahati dari DYMM Raja Zarith Sofiah.

Sabariah Hussein yang lebih dikenali sebagai Sis Sabriah berkata didikan ibu bapa yang sentiasa mengajar erti berkongsi rezeki dan kasih sayang membuatkan beliau berasa bertanggungjawab untuk menabur bakti kepada masyarakat.

Sis Sabriah, 70, telah berhijrah ke Kanada kira-kira 32 tahun lalu dan kini terkenal dalam kerja-kerja amal di sana. Selain membantu memasak untuk lapan buah masjid dan dua buah gereja di Montreal, Sister Sabriah turut mengendalikan rumah perlindungan wanita yang dikenali sebagai ‘Rumah Kedua Kita’ (Our Second Home) di rumahnya sendiri.

“Saya memulakan kerja amal tersebut sejak berhijrah ke Kanada dengan mengagihkan karipap.

“Mulanya dengan kuantiti yang kecil sahaja kepada masjid-masjid yang berdekatan dengan tempat tinggal saya.

“Langkah kecil itu akhirnya membuka mata saya untuk meluaskan kerja-kerja amal apabila melihat ramai yang memerlukan pertolongan saya,” kata pesara guru pendidikan khas itu ketika bercakap dalam satu forum anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertempat di Dewan Senat, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim.

Majlis itu turut dihadiri oleh Canselor UTM, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah, Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Prof. Dr. Zainuddin Abdul Manan.

Mengulas mengenai semangat perkongsian yang dialami ketika zaman kanak-kanaknya, Sis Sabriah berkata beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga yang besar dengan enam beradik serta 12 adik beradik angkat menjadikan keluarganya bertambah besar dengan jumlahnya mencecah 20 orang.

“Ibu bapa saya walaupun tidak mempunyai pendapatan yang besar tetapi suka menolong sanak saudara yang ditimpa masalah dengan mengambil mereka sebagai anak angkat jika berlakunya sebarang masalah.

“Disebabkan hidup dalam keluarga yang besar ini, segala yang kami ada perlu dikongsi bersama dan kebiasaan hidup dalam amalan mulia ini telah mendorong saya untuk berkongsi lebihan rezeki yang saya ada kepada orang lain yang memerlukan,” katanya.

Sis Sabriah berkata, beliau juga dalam perancangan untuk membuka sebuah lagi pusat penjagaan anak-anak yatim di Klang, Selangor dan juga di Kota Tinggi, Johor khas untuk anak-anak etnik Rohingya.

“Ini bagi membolehkan anak-anak ini mendapat perlindungan yang secukupnya sebelum sebarang tindakan susulan oleh kerajaan,” katanya.

Explore More