April 20, 2024

Search
Close this search box.

Sesi Percambahan Ilmu Peranan Pengerusi & Pemeriksa Peperiksaan Lisan (Viva-Voce) Pascasiswazah di UTM Razak School

Pada 9 dan 23 Februari 2018, UTM Razak School telah mengambil inisiatif untuk mengadakan sesi percambahan ilmu berkenaan Peranan Pengerusi dan Pemeriksa bagi Peperiksaan Lisan (viva-voce) Pascasiswazah.  Sesi percambahan ini telah disampaikan oleh Profesor Ulung, YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Ir. Dr. Zainai bin Mohamed dan Dekan UTM Razak School, Prof. Ir Dr. Shaari Mohd Yusof.  Tujuan sesi ini diadakan adalah untuk memastikan staf akademik UTM Razak School sentiasa kompeten dan mempunyai pengetahuan yang jelas dalam urusan viva-voce.

Sesi percambahan ilmu ini dibahagikan kepada tiga (3) topik iaitu, peranan dan tanggungjawab Pengerusi dan Pemeriksa, pelaksanaan sesi viva-voce yang komprehensif dan penambahbaikan sistem pengurusan viva-voce.

Pengerusi yang dilantik adalah terdiri daripada staf akademik yang mempunyai kredibiliti dan kemahiran menjadi moderator dalam sesi viva-voce yang diadakan. Pengerusi memainkan peranan mengawal dan memastikan viva-voce berjalan lancar dan mencapai kata sepakat di akhir sesi.  Manakala staf akademik yang dilantik sebagai Pemeriksa, tidak kira sebagai Pemeriksa Dalam atau Luar, mereka perlu tahu fungsi lantikan mereka dan bersikap profesional dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai Pemeriksa.

Sebagai sebuah institusi yang diberi amanat untuk menjalankan sesi viva-voce sendiri, adalah menjadi tanggungjawab UTM Razak School untuk memastikan setiap sesi viva-voce berjalan lancar, kondusif dan profesional bermula dari pelantikan pemeriksa sehingga penyediaan dokumen graduan pelajar.  Ini amat penting bagi memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kepada semua pihak yang terlibat dan sekaligus memastikan nama baik UTM terpelihara.

Sesi perkongsian ini juga memberi pemahaman kepada staf akademik berkenaan dengan sistem pengurusan viva-voce yang sebenar.  Pertukaran pendapat dan pandangan turut berlaku semasa sesi perkongsian dan semuanya diambil secara positif sebagai maklumbalas penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh UTM Razak School.

Dengan adanya sesi percambahan ilmu ini, UTM Razak School dapat memastikan setiap staf akademik mendapat ilmu yang cukup dan terkini dan mampu menjadi Pengerusi dan Pemeriksa Viva-Voce yang berkredibiliti tinggi.

Explore More